Terbuka Qatar: Kerber kecundang

Terbuka Qatar: Kerber kecundang

DOHA, 24 Feb (AFP) – Angelique Kerber menjadi seorang daripada sekurang-kurangnya tujuh pemain pilihan yang tersingkir daripada saingan Terbuka Qatar, awal pagi tadi – kejohanan pertama pemain Jerman itu sejak dia menjuarai Grand Slam di Melburne, bulan lalu.

Juara Terbuka Australia itu tewas pada aksi pusingan kedua – dia mendapat bye di pusingan pertama di tangan pemain China, Zheng Saisai yang menghuni ranking 70 di belakangnya 7-5, 6-1.

Ia hari yang malang di Doha buat pemain utama apabila Kerber turut disertai pilihan kedua, Simona Halep yang tewas dalam aksi tiga set kepada Elena Vesnina.

Turut tersingkir adalah juara bertahan dan pilihan ketujuh, Lucie Safarova.

Dia tewas di tangan pemain Turki, Cagla Buyukakcay. Pilihan keenam kejohanan, Belinda Bencic, Svetlana Kuznetsova (12), Jelena Jankovic (14) dan Sara Errani (16) turut menjadi mangsa tersingkir awal.

Kerber menjadi salah seorang daripada sekurang-kurangnya tujuh pemain pilihan yang tersingkir daripada saingan Terbuka Qatar. - Reuters
Kerber menjadi salah seorang daripada sekurang-kurangnya tujuh pemain pilihan yang tersingkir daripada saingan Terbuka Qatar. – Reuters

Bagaimanapun, kekalahan Kerber adalah yang paling mengejutkan.

Katanya, dia tidak pasti sama ada persembahan buruknya disebabkan tidak cergas atau gagal mengatasi tekanan selepas ditabalkan sebagai juara Grand Slam.

“Saya tidak tahu sama ada ia tekanan atau tidak. Perasaan saya pada pagi ini (pagi semalam) juga tidak baik ketika menjalani latihan.

“Ini saja yang saya boleh katakan, saya tidak pasti berapa banyak kesilapan yang saya lakukan hari ini      Ini bukan permainan saya, terlalu banyak kesilapan,” katanya.

Saisai yang gembira dengan kemenangan ke atas Kerber itu akan menentang Eugenie Bouchard pada pusingan ketiga.