Terdesak mencuri demi anak

Terdesak mencuri demi anak

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Ibu kepada empat orang anak dikenakan hukuman tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mengaku bersalah mencuri barang makanan dan minuman di Pasar Raya Hua Ho Manggis Mall baru-baru ini.

Noraziah binti Rosli, 33, didakwa mencuri satu botol Pepsi Cola 600ml; enam tin Mulaut Corn Beef; satu kontena kecil kacang gajus dan lapan paket kerang kecil bercili sekitar pukul 3 petang pada 25 Julai 2015.

Akibat perbuatannya, tertuduh disabit bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa kepada hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan denda.

Tertuduh memberitahu mahkamah, dia terdesak untuk mencuri demi anak-anaknya.

“Kamu tahu perbuatan mencuri adalah satu kesalahan yang serius dan kamu juga tahu apa akibatnya tetapi kamu masih tidak belajar daripada kesilapan walaupun kamu pernah melakukan kesalahan yang sama pada September 2014,” tegas Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.

Pemangku Majistret Kanan berkata, hukuman pemenjaraan wajar dikenakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang sama, dan memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa hari ini.

Fakta kes menyebut, tertuduh pergi ke pasar raya tersebut bersama anak lelakinya yang berusia 10 tahun dengan niat untuk mencuri.

Sebaik tiba di pasar raya itu, tertuduh mencuri barang makanan dan minuman dan memasukkannya ke dalam beg yang dibawa.

Kedua-duanya kemudian pergi ke tingkat dua menggunakan eskalator namun belum sempat melangkah keluar, tertuduh sempat ditahan oleh seorang pekerja lelaki yang ingin memeriksa isi kandungan beg yang dibawa.

Tertuduh mengaku tidak membayar barang-barang yang dicuri di mana harga kesemua barangan itu ialah $129.40.

ARTIKEL YANG SAMA