Terengganu miliki Trek BMX bertaraf Asia

Terengganu miliki Trek BMX bertaraf Asia

DUNGUN, 16 Jun (Bernama) – Terengganu kini berupaya menjadi venue penganjuran sukan berbasikal lasak BMX di peringkat Asia susulan mempunyai Trek BMX bertaraf Asia, kata Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu Zainal Abidin Hussin.

Beliau berkata persatuan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan kerajaan negeri akan mempertingkatkan fasiliti di Trek BMX yang terletak di Bukit Bauk di sini dan siap pada Disember tahun lepas agar dapat menjadi trek bertaraf dunia.

“Trek yang ada di sini (Dungun) sekarang merupakan trek paling moden di Malaysia yang sesuai untuk kejohanan bagi tahap profesional berbanding Trek BMX lain yang hanya sesuai untuk ‘beginner level’.

“Trek ini mempunyai ‘starting game’ berketinggian lima meter, terdapat empat ‘berms’ dan panjang keseluruhan trek adalah 350 meter yang menepati piawaian trek kejohanan bagi peringkat Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Trex BMX Dungun bersempena Kejohanan Basikal BMX Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Presiden MSNT Abdul Rashid Jusoh.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

Trek BMX Dungun merupakan trek BMX ketiga di negara ini selepas Trek BMX di Selayang, Selangor dan Melaka yang masing-masing dibina pertengahan tahun lalu dengan peruntukan kerajaan negeri kira-kira RM100,000 setiap satunya.

“Kita juga akan sentiasa memastikan trek BMX ini diperkemas dan diperbaiki dari segi teknikal untuk kegunaan peminat acara basikal lasak.

“Dengan kerjasama MSNT, kita yakin akan dapat melahirkan lebih ramai atlet berbasikal bukan sahaja atlet basikal jalan raya tapi juga atlet berbasikal lasak di negeri ini yang mana sekarang ini, negara pun kekurangan atlet basikal lasak,” kata Zainal Abidin.

Sementara itu, Naim berkata dengan adanya trek berkenaan pihaknya berharap akan dapat melahirkan lebih ramai atlet berbasikal ‘Cross Country’ dan ‘Downhill’.

ARTIKEL YANG SAMA