Terengganu sasar 6,500 pelancong Singapura pada 2017

Terengganu sasar 6,500 pelancong Singapura pada 2017

SINGAPURA, 14 Ogos – Terengganu menyasarkan untuk menarik kira-kira 6,500 pelancong dari Singapura tahun hadapan menerusi kempen Beautiful Terengganu 2017.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata sasaran itu merupakan peningkatan sekitar 20 peratus dari tahun ini.

“Terengganu kaya dengan pulau-pulau yang menarik, makanan, dan kraf tangannya yang tersendiri. Kami yakin tarikan ini mampu terus menarik pelancong dari republik ini,” katanya ketika melancarkan Beautiful Terengganu@Malaysia Feast di Singapura kelmarin.

Ahmad Razif berkata pelancong Singapura boleh sampai ke negeri pantai timur itu melalui jalan darat dan udara dengan mudah.

Beliau berkata lebih banyak kerjasama akan dijalin bersama agensi pelancongan di Singapura untuk membawa pelancong ke negeri itu.

“Rakyat Singapura harus menikmati dan mengambil peluang ketika nilai mata wang Malaysia yang rendah ketika ini untuk melancong ke Terengganu,” katanya.

Ahmad Razif juga berkata Terengganu bakal mempunyai tarikan terbaharu iaitu sebuah jambatan mirip ‘London Bridge’.

Ia sedang dalam proses pembinaan oleh majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER Datuk Jebasingam Isaac John berkata Terengganu turut menarik pelabur dari republik itu untuk melabur dalam sektor pelancongan, perhotelan dan hartanah.

“Terengganu menawarkan insentif pelaburan yang menarik bagi pelabur-pelabur asing termasuk dari Singapura,” kata Ahmad Razif. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA