Terengganu ungguli Hornbill Grand Bondo Terbuka S’wak

Terengganu ungguli Hornbill Grand Bondo Terbuka S’wak

KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Bernama) – Terengganu menguasai kejohanan lumba basikal kreterium Hornbill Grand Bondo Terbuka Sarawak yang diadakan di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak hari ini.

Ketua Jurulatih Berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata Terengganu menguasai kategori wanita terbuka, junior lelaki dan kategori lelaki senior yang dipertandingkan dalam kejohanan sehari itu.

“Kita berjaya menguasai kejohanan ini dengan pelumba-pelumba yang agresif dan mempunyai komitmen yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Syed Mohd Hussaini pasukan Terengganu itu diketuai oleh pelumba senior Irwandi Lakesek dangan barisan pelumba-pelumba muda yang sedang meningkat dalam arena lumba basikal.

Beliau berkata Terengganu diwakili 12 pelumba yang terdiri daripada lima pelumba wanita, empat pelumba junior lelaki dan tiga pelumba senior lelaki dalam kejohanan tersebut.

Syed Mohd Hussaini berkata antara pelumba Terengganu yang berjaya dalam kejohanan itu ialah Saifi Mat Senan dan Nor Aiman Zarif Ag apabila masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga kategori lelaki senior.

Seorang lagi pelumba, Wan Abdul Rahman Hamdan pula berjaya menduduki tempat pertama dalam kategori lelaki junior.

Bagi kategori wanita terbuka pula, dua pelumba negeri ini Sharifah Elayana Syed Zulkifli dan Aimiu Wasaki Mohd Herotosi masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

ARTIKEL YANG SAMA