Tergamak pukul anak buah sendiri

Tergamak pukul anak buah sendiri

LIMBANG, 8 Sept- Seorang lelaki tergamak memukul anak buahnya sendiri tanpa sebab dalam kejadian yang berlaku di daerah ini malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku jam 8.30 malam itu, mangsa, seorang budak lelaki berusia 7 tahun menangis kesakitan sebaik didatangi pakciknya sendiri yang mengacau dan memukul bahagian belakangnya menggunakan tangan.

Kejadian itu disedari bapa mangsa 30 tahun yang terdengar bunyi bising di atas rumah mentuanya lalu bergegas naik ke tingkat atas dan mendapati anaknya itu sedang menangis.

Melihat keadaan anaknya yang menangis itu ayah mangsa segera membawanya pulang ke Kampungnya di Bukit Luba.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Satu laporan polis dibuat ayah mangsa malam kelmarin.

Beliau berkata rakaman percakapan ayah mangsa dan mangsa juga telah dirakam.

“Ketika kejadian mangsa sedang melukis di ruang tamu neneknya sebelum didatangi suspek yang mengacau dan memukulnya di bahagian belakang dengan tangan,”katanya lagi.

Mangsa juga katanya tidak mengetahui kenapa pakciknya itu tergamak memukulnya secara tiba-tiba.

Hasil siasatan awal juga mendapati ia merupakan kejadian kali pertama mangsa dipukul suspek.

“Mangsa juga menetap bersama anaknya di rumah mentuanya dan mangsa juga kini mendapat rawatan di Hospital Limbang,”ujarnya lagi.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (kerana mendatangkan kecederaan). – Arissa