Terhempas atas rumah, 116 maut

Terhempas atas rumah, 116 maut

JAKARTA, 30 Jun (Agensi) – Sekurang-kurangnya 116 orang terkorban apabila sebuah pesawat pengangkut tentera yang membawa lebih 100 penumpang, terhempas di sebuah kawasan perumahan awam, di Kota Medan, Sumatera Utara sejurus berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, kira-kira jam 11.50 pagi ini.

Bangunan-bangunan musnah manakala kereta-kereta rentung apabila pesawat Hercules C-130 yang terhempas itu meletup dan terbakar.

“Nampaknya tiada yang terselamat,” kata Marsyal Udara Agus Supriatna memberitahu Metro TV di Medan sambil menambah bahawa antara 113 penumpang pesawat malang itu adalah ahli keluarga tentera udara.

Siaran stesen televisyen tempatan melaporkan pesawat itu terhempas di atas puluhan rumah awam di Royal Gardenia, Jalan Letjen Jamin Ginting, KM 9, Padang Bulan. Saksi-saksi berkata mereka ternampak pesawat itu meletup sebelum terhempas.

Seorang pegawai di hospital berdekatan yang enggan namanya disiarkan berkata, setakat ini 66 mayat telah dibawa ke Rumah Sakit Adam Malik di Medan.

Anggota keselamatan dan pasukan penyelamat memeriksa bangkai pesawat pengangkut tentera Indonesia yang terhempas di kawasan perumahan awam, di Kota Medan, Sumatera Utara pagi kelmarin. – Reuters
Anggota keselamatan dan pasukan penyelamat memeriksa bangkai pesawat pengangkut tentera Indonesia yang terhempas di kawasan perumahan awam, di Kota Medan, Sumatera Utara pagi kelmarin. – Reuters

Pada mulanya pihak berkuasa berkata hanya 12 anak kapal sahaja yang berada dalam pesawat malang itu.

“Jumlah korban mungkin banyak dan kerja-kerja mencari masih diteruskan dan setakat ini api yang membakar pesawat telah dipadamkan,” seorang petugas pasukan keselamatan dipetik sebagai berkata dalam sebuah siaran berita televisyen. Setakat ini belum ada kenyataan rasmi pihak berkuasa dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) mengenai tragedi ini.

Sementara itu, Kepala Staf Komando Daerah Militer (Komdam) I Bukit Barisan Brig Jen TNI Cucu Sumantri dipetik oleh MetroTV sebagai berkata, pesawat itu menuju ke Tanjung Pinang, Kepulauan Riau dan membawa tentera dari Pangkalan Udara Soewondo, Medan, Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma (Jakarta) dan dari Pangkalan Udara Ranai di Natuna, Kepulauan Riau.

ARTIKEL YANG SAMA