Terhutang budi dengan Ramires, Willian

Terhutang budi dengan Ramires, Willian

NEWCASTLE, England, 28 Sept (AFP) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho mengakui terhutang budi kepada pemain gantian, Ramires dan Willian yang bertanggungjawab mencetuskan kebangkitan bagi memastikan mereka seri 2-2 dengan Newcastle.

Chelsea ketinggalan 0-2 dan hampir menuju kepada kekalahan kelima mereka musim ini sebelum Ramires memulakan kebangkitan menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-79.

Dia kemudiannya berjaya memperdayakan penjaga gol Newcastle, Tim Krul bagi membolehkan sepakan percuma Willian berjaya melepasinya.

Mourinho, yang tidak pernah memenangi enam perlawanannya di laman Newcastle, memuji sumbangan dua pemain itu selepas memberikan rating negatif satu kepada pemain lainnya selepas aksi separuh masa pertama.

“Yang pasti, kami bermain dengan teruk. Kami bermain begitu banyak perlawanan sepanjang lebih 10 tahun dan ada persembahan yang teruk dan saya anggap perlawanan separuh masa pertama adalah seperti itu,” kata pengurus Chelsea.

“Saya menyalahkan pemain individu. Apabila anda mempunyai ramai pemain individu yang teruk, sukar untuk menjadi satu pasukan.

“Saya mempunyai perasaan yang ekstrem, negatif dan positif. Itulah hujahnya. Itulah yang kami miliki. Ia lebih baik daripada kalah tapi saya tidak gembira apabila gagal memenangi perlawanan.

“Saya perlu cuba memahami mengapa mereka bermain begitu teruk pada separuh masa pertama dan lebih baik pada separuh masa berikutnya. Dalam setiap aspek perlawanan, kami terlalu teruk.”