Terima 2 kunjungan muhibah

Terima 2 kunjungan muhibah

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, hari ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada Pesuruhjaya Tinggi New Zealand (NZ) ke Brunei Darussalam yang tidak menetap, Tuan Yang Terutama Dr. John Subritzky di Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, semasa kunjungan itu, kedua-dua pihak menekankan kepentingan interaksi dua hala dan jawatan pengerusi yang dipegang bersama Brunei Darussalam dan NZ bagi Kumpulan Kerja Pakar (EWG) ADMM-Plus berhubung Sekuriti Maritim. Kedua-duanya juga membincangkan isu-isu serantau yang berkepentingan bersama.

Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama juga telah membuat kunjungan muhibah kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, juga di Kementerian Pertahanan.

Dalam kunjungan itu, kedua-dua pihak menyatakan penghargaan ke atas hubungan dua hala yang rapat antara kedua-dua buah negara, terutamanya dalam bidang kerjasama ketenteraan.

Selain itu, Pemerintah ABDB antara lain turut menekankan perasaan gembira dapat bekerjasama dalam merancang dan melaksanakan Eksesais Lapangan Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan ADMM-Plus yang akan diadakan bulan depan.

Timbalan Menteri Pertahanan ketika menerima kunjungan muhibah daripada Dr. John Subritzky.
Timbalan Menteri Pertahanan ketika menerima kunjungan muhibah daripada Dr. John Subritzky.
Pemerintah ABDB menerima kunjungan muhibah daripada Mejar Jeneral Peter Te Aroha Emile Kelly.
Pemerintah ABDB menerima kunjungan muhibah daripada Mejar Jeneral Peter Te Aroha Emile Kelly.

Brunei Darussalam dan NZ merupakan pengerusi bersama EWG ADMM-Plus berhubung Sekuriti Maritim.

Kunjungan itu ditamatkan dengan kedua-dua pihak menegaskan komitmen mereka dalam memperkukuhkan kolaborasi antara kedua-dua pihak ketenteraan.

Tuan Yang Terutama telah menyerahkan watikah pelantikannya pada 12 November 2015 sebagai Pesuruhjaya NZ ke Brunei Darussalam yang tidak menetap, dan berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Secara berasingan, pagi tadi, Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB turut menerima kunjungan muhibah daripada Ketua Tentera, Pasukan Pertahanan NZ, Mejar Jeneral Peter Te Aroha Emile Kelly.

Dalam kunjungan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, kedua-dua belah pihak mengiktiraf hubungan pertahanan dua hala yang kukuh dan mengesahkan semula komitmen mereka untuk mengukuhkan persahabatan berpanjangan dan kerjasama menerusi pelbagai platform termasuk eksesais, pertukaran lawatan, latihan bersama dan mempromosikan dialog di antara pegawai-pegawai pertahanan dan tentera.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan  Abdul Aziz juga berterima kasih kepada NZ atas sokongan berterusan mereka dalam Eksesais Keselamatan Maritim dan Pencegahan Pengganasan ADMM-Plus yang dijadualkan diadakan di Brunei Darussalam awal bulan depan.

Manakala itu, dalam kunjungan kepada Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih, kedua-dua belah pihak memfokuskan ke atas hubungan pertahanan dua hala yang mesra di antara Brunei Darussalam dan NZ.

Pemerintah ABDB juga melahirkan penghargaannya bagi persahabatan rapat dan sokongan berterusan yang diberikan oleh Pasukan Pertahanan NZ kepada ABDB, terutamanya bagi eksesais Mei depan, serta Eksesais Kepimpinan II di antara Sekolah Pegawai Kadet NZ dan Sekolah Pegawai Kadet ABDB pada Ogos 2016.

Inisiatif-inisiatif akan datang untuk mengukuhkan lagi hubungan profesional antara kedua-dua angkatan bersenjata juga dibincangkan.

Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

ARTIKEL YANG SAMA