Terima anugerah merit RAD

Terima anugerah merit RAD

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah hari ini berkenan menerima anugerah merit bagi keputusan Peringkat Pra-Rendah Royal Academy of Dance (RAD), di Auditorium Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah merupakan sebahagian daripada penari balet cilik perempuan (Little Ballerinas) Fitness Zone.

Turut menerima anugerah itu ialah rakan-rakan Yang Teramat Mulia, iaitu Atiyah Zahreen binti Mohamad Taufil, Eshlee Hii Xin Yue, Qistinah Darwisyah binti Muhamad Amir Hadzre, Shayna Goh Shin Yi, dan Shi Yan Huang Han Jin.

Selain itu, bagi Gred 1, Lim Jia Xin telah menerima pingat emas dan Amber Sim Yu Ying telah menerima pingat perak.

Peperiksaan Peringkat Pra-Rendah RAD yang berlangsung pada 17 Mei 2016 itu telah dianjurkan dan diselia oleh Pemeriksa RAD, Dale M. Coles.

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama penari balet cilik dengan sijil Anugerah Merit Rad mereka dan Wu Chun. – Gambar Muiz Matdani
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama penari balet cilik dengan sijil Anugerah Merit Rad mereka dan Wu Chun. – Gambar Muiz Matdani

Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun, dalam kenyataan akhbar berkata, “Kami mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang telah menyokong semua persiapan ini. Sokongan ini merupakan dorongan tambahan kepada mereka.

“Hasrat kami bukan sahaja untuk mencipta suasana kerjasama, pelajaran dan disiplin pada awal usia mereka, tetapi juga berusaha membina keyakinan di mana kami memberikan mereka peluang untuk membuat persembahan,” tambah Wu Chun lagi.

Yang Teramat Mulia dan rakan-rakan penari balet lain dijangka membuat persembahan dalam Konsert Amal Roots and Wings yang akan berlangsung pada 17 September (esok) di JIS bersama beberapa bakat tempatan Brunei bagi mengumpul dana untuk dua pertubuhan tidak berasaskan keuntungan iaitu Special Olympics Brunei Darussalam dan La Vida Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA