Terima anugerah Warga Kehormat RPK

Terima anugerah Warga Kehormat RPK

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah memperkenankan bagi Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) untuk dianugerahkan sebagai Warga Kehormat Rejimen Pasukan Khas (RPK) bertempat di Kem Rejimen Pasukan Khas, Penanjong Garison, Tutong, bersempena dengan Hari Ulang Tahun Rejimen Pasukan Khas ke-40 Tahun.

Pada majlis tersebut, Pemerintah ABDB telah dianugerahkan dengan Lencana Pasukan RPK, Beret Maroon dan pisau Komando yang telah disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Rejimen Pasukan Khas.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih adalah Pemerintah ABDB yang pertama diberi penghormatan sebagai Warga Kehormat RPK dan penghormatan ini diberikan sebagai pengiktirafan di atas kewibawaan, kebijaksanaan, profesionalisme, kecekapan yang tinggi dan kemantapan kepimpinan semasa memegang tampuk kepimpinan ABDB.

Dengan pencapaian ini, RPK telah berjaya membuktikan dan mempertahankan statusnya sebagai sebuah pasukan elit yang menjadi benteng bagi mempertahankan agama, bangsa dan Negara Brunei Darussalam.

Baginda Sultan merupakan Warga Kehormat Diraja Rejimen Pasukan Khas. Warga Kehormat Diraja Rejimen Pasukan Khas yang lain termasuklah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II Al-Husein Hashemite Kingdom of Jordan pada tahun 2006 dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada tahun 2013.

Penyampaian lencana RPK, beret maroon dan pisau Komando oleh Pegawai Pemerintah RPK.
Penyampaian lencana RPK, beret maroon dan pisau Komando oleh Pegawai Pemerintah RPK.
Upacara menaikan bendera baru RPK.
Upacara menaikan bendera baru RPK.
Pemerintah ABDB menyertai latihan tempur rapat bagi misi menyelamat tebusan.
Pemerintah ABDB menyertai latihan tempur rapat bagi misi menyelamat tebusan.

Rejimen Pasukan Khas merupakan sebuah pasukan elit dalam ABDB yang mempunyai keanggotaan yang terlatih dan dilengkapi dengan peralatan mahupun aset khas bagi melaksanakan operasi rahsia, antipengganas dan operasi khas yang lain serta memiliki kemahiran untuk penyusupan melalui udara, laut dan darat.

Sebelum bermulanya majlis penganugerahan, Pemerintah ABDB turut terlibat dalam latihan tempur rapat bagi misi menyelamat tebusan yang berada di dalam bangunan. Sempena Ulang Tahun Rejimen Pasukan Khas ke-40, RPK turut menerima Bendera Pasukan yang baru yang telah disampaikan oleh Pemerintah ABDB.

Turut hadir bagi menyaksikan majlis ini adalah pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, pengarah-pengarah Tentera, Komandan-komandan dan warga Rejimen Pasukan Khas.

ARTIKEL YANG SAMA