Terima dua kunjungan

Terima dua kunjungan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung, Kementerian Pertahanan Republik Indonesia, Naib Laksamana Widodo, di Bolkiah Garrison.

Naib Laksamana Widodo berada di Brunei Darussalam dari 2 hingga 4 Mei ini bagi menyaksikan Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan (MS & CT) ADMM-Plus.

Sumbangan Indonesia bagi Eksesais MS & CT termasuk sebuah kapal (KRI Sultan Iskandar Muda) dan pegawai-pegawai perhubungan dalam Pasukan Kawalan Perancangan Eksesais.

Turut hadir semasa kunjungan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar, dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Perkembangan), Awang Abu Sufian bin Haji Ali.

Dalam kunjungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan mengalu-alukan lawatan pertama Naib Laksamana Widodo ke Kementerian Pertahanan dan juga menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai Setiausaha Agung Kementerian Pertahanan Indonesia sejak 1 Februari 2016.

Timbalan Menteri Pertahanan menerima kunjungan hormat daripada Naib Laksamana Widodo, di Bolkiah Garrison.
Timbalan Menteri Pertahanan menerima kunjungan hormat daripada Naib Laksamana Widodo, di Bolkiah Garrison.
Timbalan Menteri Pertahanan menerima kunjungan perpisahan Kapten (L) Lee Yong Ho yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Timbalan Menteri Pertahanan menerima kunjungan perpisahan Kapten (L) Lee Yong Ho yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Kedua-dua belah pihak turut membincangkan mengenai isu-isu serantau dan komitmen mereka pada mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala yang sedia ada dalam semua peringkat, menerusi eksesais-eksesais, kursus, pertukaran lawatan, latihan bersama dan dialog di antara institusi-institusi pertahanan kedua-dua buah negara.

Sementara itu, secara berasingan, Timbalan Menteri Pertahanan turut menerima kunjungan perpisahan daripada Atase Pertahanan Tidak Menetap Republik Korea ke Brunei Darussalam, Kapten (Tentera Laut) Lee Yong Ho yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Semasa kunjungan itu, kedua-dua belah pihak menyatakan perasaan berpuas hati dengan hubungan pertahanan dua hala yang mesra di antara kedua-dua buah negara, yang terus berkembang jauh dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Hubungan itu dipertingkatkan menerusi pertukaran lawatan pertahanan serta pegawai-pegawai tentera dan pelbagai interaksi di bawah rangka kerja ADMM-Plus.

Ketika lawatan perpisahannya, sebuah Kapal Republik Korea (ROKS) Choi Young juga berada di Brunei bagi Eksesais MSCT ADMM-Plus.

Kapten (L) Lee Yong Ho meluahkan penghargaannya kepada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei atas hubungan kerja baik yang diterimanya sepanjang tempoh beliau sebagai Atase Pertahanan Republik Korea ke Brunei.

Timbalan Menteri Pertahanan turut menyampaikan penghargaan kepada Kapten (L) Lee Yong Ho atas sumbangannya dan mengucapkan semoga maju jaya bagi kerjaya masa depannya.

ARTIKEL YANG SAMA