Terima kasih – Cech

Terima kasih – Cech

LONDON, 1 Julai (Reuters) – Petr Cech mengucapkan terima kasih kepada Roman Abramovich selepas pemilik Chelsea itu membenarkan penjaga gol berpengalaman berkenaan berpindah ke Arsenal.

Cech yang muncul penjaga gol paling berjaya dalam sejarah Chelsea selepas memenangi empat gelaran Liga Perdana serta satu Liga Juara-Juara berkata, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Stamford Bridge tetapi terpaksa berbuat demikian apabila disenaraikan sebagai penjaga gawang kedua di belakang Thibaut Courtois musim lalu.

“Saya tidak pernah terfikir perkara ini akan berlaku … sudah sampai masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada Chelsea,” kata penjaga gawang berusia 33 tahun itu.

“Inilah kelab di mana saya sanggup hidup dan mati bersamanya sejak menyarung jersi selaku penjaga gol utama pada Julai 2004. Inilah kelab di mana saya pernah mengimpikan untuk menamatkan karier saya tetapi perjalanan hidup kita tidak selalunya mengikut apa yang kita mahukan.

“Musim panas lalu, semuanya berubah dan saya faham bukan lagi pilihan utama… aksi yang sangat terhad musim lalu membuatkan saya memikirkan semula pembabitan saya dalam bola sepak dan saya sedar tidak mahu terus menjadi nombor dua,” kata Cech.

“Itulah sebabnya mengapa saya berbincang dengan Abramovich dan saya berterima kasih kepadanya kerana menyokong saya. Ia amat bermakna kerana tanpa beliau, Chelsea tidak akan berada di tempat yang sepatutnya hari ini.”

Cech yang akan menyarung jersi Arsenal pada perlawanan Perisai Komuniti menentang Chelsea di Wembley, 2 Ogos lalu menyifatkan tempoh 11 tahun di Stamford Bridge sebagai sesuatu yang sangat menyeronokkan.

“Saya sangat bangga,” katanya. “Sebagai satu pasukan, kami mencipta sejarah. Saya secara peribadi mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dengan Chelsea atas sokongan mereka.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada penyokong setia Chelsea. Saya sudah melakukan yang terbaik untuk anda dan anda membalasnya dengan sokongan tanpa berbelah bagi. Saya tidak akan melupakannya.”