Terima kunjungan dari Negeri Sembilan

Terima kunjungan dari Negeri Sembilan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, semalam, telah menerima kunjungan lawatan kerja daripada rombongan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Malaysia.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Ketua Hakim Syar’ie Negeri, Datuk Haji Mohd Shukor bin Sabudin, dan disertai seramai 18 orang yang terdiri daripada hakim-hakim Syar’ie dan beberapa orang pegawai Mahkamah Negeri Sembilan.

Hadir mengalu-alukan rombongan tersebut ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar serta beberapa orang pegawai Mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam.

Rombongan telah dibawa melawat ke Galeri Mahkamah-Mahkamah Syariah dan seterusnya melihat antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di Dewan Persidangan Mahkamah yang dilengkapi dengan teknologi terkini sebelum sesi taklimat dan perbincangan dua hala kedua-dua pihak.

Lawatan kerja berkenaan merupakan antara program yang telah dirancang oleh jabatan tersebut sepanjang lawatan ke Negara Brunei Darussalam dengan tujuan untuk sama-sama berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan khususnya dalam perkara berhubung bidang kuasa mahkamah dalam perlaksanaan Perintah Kanun Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA