Terima kunjungan dari Singapura

Terima kunjungan dari Singapura

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 20 Mac – Seramai 10 orang murid bersama dua orang guru dari ‘CHIJ Our Lady of Good Counsel’ dari Singapura, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Sekolah St Margaret, Seria sebagai sebahagian daripada ‘School Immersion Programme’ di sekolah tersebut.

Dalam lawatan itu, rombongan penuntut Tahun 4 hingga 6 berkenaan beramah mesra bersama pelajar-pelajar dari Sekolah St Margaret dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti serta permainan berpasukan.

Salah seorang guru CHIJ Our Lady of Good Counsel, Maslinda berkata, tahun ini merupakan kali kedua mereka membuat lawatan tersebut ke negara ini selepas yang pertama pada tahun 2012.

“Kali ini, kami akan berada di negara ini selama tiga hari dan ini adalah kali pertama kami melawat sekolah ini bagi murid-murid ini di mana mereka berinteraksi dan bermain pelbagai permainan dengan murid-murid di sini terutamanya yang menerokai kreativiti mereka,” katanya lagi.

Gambar ramai para pelajar dari Sekolah St Margaret bersama para pelajar dari Singapura.
Gambar ramai para pelajar dari Sekolah St Margaret bersama para pelajar dari Singapura.

Ketibaan rombongan lawatan disambut oleh Pengetua Sekolah St Margaret, Koh Hong Puah dan kakitangan lain di sekolah ini.

Pelajar-pelajar dari Sekolah St Margaret kemudiannya mengadakan persembahan tarian untuk menghiburkan murid-murid dari CHIJ Our Lady of Good Counsel.

Selain itu, rombongan pelawat juga melawat beberapa tempat yang menarik di negara ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai kerja-kerja kebajikan di sini di mana mereka turut melawat Pusat Khidmat Masyarakat atau Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria.

ARTIKEL YANG SAMA