Terima kunjungan Panglima TNI

Terima kunjungan Panglima TNI

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Dato Paduka Seri Jeneral Gatot Nurmantyo.

Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison, Panglima TNI memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 56 orang anggota dari Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei.

Perbarisan kawalan kehormatan ini diketuai oleh Ketua Perbarisan 849, Kapten Haren Suhandy bin Haji Abdullah.

Dato Paduka Haji Mustappa (kanan) ketika menerima kunjungan daripada Dato Paduka Seri Jeneral Gatot Nurmantyo.
Dato Paduka Haji Mustappa (kanan) ketika menerima kunjungan daripada Dato Paduka Seri Jeneral Gatot Nurmantyo.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih (kiri) ketika menerima kunjungan daripada Dato Paduka Seri Jeneral Gatot Nurmantyo.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih (kiri) ketika menerima kunjungan daripada Dato Paduka Seri Jeneral Gatot Nurmantyo.

Semasa di kementerian itu, Jeneral Gatot Nurmantyo turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Semasa kunjungan berkenaan, kedua-dua pihak telah membincangkan perkara-perkara mengenai hubungan dua hala serta komitmen kedua-dua buah negara ke arah mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini dan seterusnya.

Panglima TNI dan delegasi sedang berada di negara ini bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Brunei-Indonesia ke-II (BRUNESIA-HLC) yang bermula kelmarin di Kementerian Pertahanan.