Terima kunjungan perpisahan Duta Thailand

Terima kunjungan perpisahan Duta Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, semalam, telah menerima kunjungan perpisahan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand, Tuan Yang Terutama Chirdchu Raktabutr, yang bakal menamatkan perkhidmatannya di negara ini.

Semasa pertemuan di Kementerian Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama atas kerjasama dan sumbangannya kepada peningkatan hubungan di antara Brunei Darussalam dan Thailand.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand kerap berinteraksi dalam sektor pertahanan menerusi

latihan-latihan dan pertukaran profesional, terutamanya menerusi platform ADMM-Plus, di mana kedua-dua buah negara mempunyai pertukaran profesional dalam bidang-bidang seperti keselamatan maritim, pencegahan pengganasan, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana serta perubatan tentera.

Interaksi-interaksi ini membantu meningkatkan kebolehan operasi di antara kedua-dua angkatan bersenjata dan mengukuhkan hubungan baik serta persefahaman bersenjata dalam kalangan personel.

Tuan Yang Terutama Chirdchu Raktabutr juga membuat kunjungan perpisahan kepada Pemerintah ABDB.
Tuan Yang Terutama Chirdchu Raktabutr juga membuat kunjungan perpisahan kepada Pemerintah ABDB.

Kunjungan diakhiri dengan penyerahan cenderahati oleh Timbalan Menteri Pertahanan kepada Tuan Yang Terutama sebagai penghargaan kepada perkhidmatannya yang berharga.

Sementara itu, Tuan Yang Terutama juga telah membuat kunjungan perpisahan kepada Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua belah pihak mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang kukuh di antara Brunei Darussalam dan Thailand di samping membincangkan mengenai isu-isu serantau dan hal ehwal semasa.

ARTIKEL YANG SAMA