Terima kunjungan wakil khas komuniti Islam AS

Terima kunjungan wakil khas komuniti Islam AS

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Wakil Khas dari Jabatan Negara Amerika Syarikat bagi komuniti Islam, Shaarik H. Zafar yang sedang dalam rangka lawatan ke Negara Brunei Darussalam.

Mengiringi Shaarik H. Zafar dalam kunjungan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Baru Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu ialah Charge d’Affaires Kedutaan AS di Brunei Darussalam, Mark S. Dieker dan Penasihat Dasar, Pejabat Hal Ehwal Keagamaan dan Global, Jabatan Negara AS, Albar A. Sheikh.

Kunjungan berkenaan bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang erat di antara kedua-dua pihak.

Ia merupakan kali ketiga perjumpaan seumpamanya diadakan sebagai landasan bertukar-tukar pandangan dan maklumat dalam perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama khasnya yang berhubung kait dengan masyarakat Islam, kefahaman terhadap perundangan Islam dan usaha ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua buah negara dalam hal ehwal agama Islam.

Hadir sama pada majlis kunjungan hormat tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Roslan bin Haji Tajaah; Ketua Pendakwa Syar’ie, Haji Johar bin Haji Mohammad; Pemangku Penolong Pengarah Perundangan Islam, Haji Suhaimi bin Haji Gemuk dan Ketua Perhubungan Awam, Awang Ariffin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menerima kunjungan hormat tersebut.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menerima kunjungan hormat tersebut.

Sementara itu, secara berasingan di tempat yang sama, Yang Berhormat Pehin juga telah menerima kunjungan perpisahan daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Todd Mercer yang akan menamatkan perkhidmatan di negara ini.

Hadir sama di majlis kunjungan tersebut ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU, Haji Harun dan Awang Roslan, Pengarah Perundangan Islam, Haji Serudin bin Haji Timbang, dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Awang Ariffin.

Semasa kunjungan tersebut, Yang Berhormat Pehin menyatakan penghargaan dan kegembiraan atas hubungan baik dan aktif di antara Negara Brunei Darussalam dan Australia.

Seterusnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Todd Mercer atas sumbangan beliau dalam meningkatkan hubungan dua hala di sepanjang tempoh perkhidmatannya, khasnya dalam bidang yang menjadi kepentingan bersama.

Todd Mercer telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 29 September 2012.

ARTIKEL YANG SAMA