Terima rasuah AS$50,000 sebulan

Terima rasuah AS$50,000 sebulan

MONTEVIDEO, 30 Dis – Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Eugenio Figueredo menerima AS$50,000 sebulan menerusi pembayaran ‘tidak wajar’ daripada syarikat pemasaran sukan, demikian didedahkan pihak berkuasa Uruguay.

Bekas pemimpin bola sepak berusia 83 tahun, salah seorang daripada tujuh pegawai tertinggi FIFA yang ditahan di hotel merah di Zurich, Mei lalu, menerima ‘bayaran besar’ setiap bulan untuk memastikan firma berkenaan kekal memperoleh hak eksklusif penyiaran kejohanan bola sepak di Amerika Selatan.

Pendedahan itu dibentangkan dalam kertas pendakwaan di Mahkamah Uruguay, semalam.

Figueredo, yang diekstradisi dari Switzerland ke Uruguay minggu lalu kerana menghadapi tuduhan terbabit dalam penipuan dan pengubahan wang haram, kini berada di dalam penjara sementara menunggu perbicaraan.

Dalam pendakwaan ke atasnya, pendakwa raya Uruguay berkata rekod menunjukkan Figueredo bukan saja menerima gaji bulanan AS$40,000 sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), namun memperoleh habuan rasuah AS$50,000 sebulan yang dilaburkannya dalam sektor hartanah di negara itu.

Eugenio Figuerdo menerima bayaran rasuah AS$50,000 daripada syarikat pemasaran sukan. - Reuters
Eugenio Figuerdo menerima bayaran rasuah AS$50,000 daripada syarikat pemasaran sukan. – Reuters

Sumber wang tunai itu diperoleh termasuk dari firma Argentina, Full Play and Torneos y Competencias (TyC), selain firma berdaftar di Kepulauan Cayman, T&T sports, yang semuanya kini di dalam siasatan penyiasat Amerika Syarikat (AS) sehingga membawa kepada pembongkaran skandal rasuah dalam FIFA.

Figueredo sendiri sudah mengakui menerima lebih AS$400,000 dari Full Play untuk melindungi syarikat itu daripada bersaing dalam mendapatkan hak penyiaran televisyen.

Beliau juga memberitahu mahkamah, semua presiden persatuan bola sepak 10 negara di benua Amerika Latin itu turut menerima pembayaran sama sebagaimana diperolehnya.

Figueredo berdepan dengan hukuman dua hingga 15 tahun penjara sekiranya didapati bersalah.

Peguamnya memohon agar tertuduh ditahan di rumah ekoran keadaan kesihatannya yang terjejas.

Beliau mengetuai Persatuan Bola Sepak Uruguay mulai 1997 hingga 2006, dan sebagai Presiden CONMEBOL pada 2013.

Tiga bekas presiden CONMEBOL terdahulu sudah ditahan berhubung skandal berkenaan, sekali gus mengheret badan konfederasi itu ke kancah krisis. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA