Terima rasuah, pegawai kastam dipenjara

Terima rasuah, pegawai kastam dipenjara

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan, hari ini, telah menjatuhi hukuman penjara ke atas seorang pegawai kastam, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja setelah didapati bersalah terlibat dengan rasuah.

Haji Mazlan bin Haji Shahbudin, 46, bersalah atas satu pertuduhan rasuah di bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan satu pertuduhan di bawah Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).

Majistret Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua, bagaimanapun, mengarahkan agar hukuman dijalankan secara serentak selama 18 bulan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh untuk membayar balik wang rasuah yang diterimanya sebanyak $400 kepada pihak kerajaan.

Semasa menjatuhkan hukuman, Majistret Hajah Hazarena menyatakan bahawa rasuah hendaklah ditangani dengan tegas agar dapat mencegah orang ramai daripada melakukannya.

pg06_150828_mahkamah logo

Menurut kenyataan Biro Mencegah Rasuah (BMR), hasil siasatan yang dijalankan biro berkenaan mendapati bahawa, pada 19 Januari 2009, di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan raya Seria, tertuduh dengan secara tidak jujur menerima suapan berjumlah $400 daripada seorang warganegara Malaysia.

Wang suapan tersebut diterima sebagai dorongan atau ganjaran bagi tidak mengambil tindakan terhadap warga Malaysia berkenaan kerana melakukan kesalahan yang berkaitan dengan penyeludupan minyak diesel dan petrol, yang merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kastam 2006.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersalah kerana telah memperolehi wang $400 tersebut untuk dirinya sendiri daripada warga Malaysia yang telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Kastam 2006 berkaitan dengan penyeludupan minyak diesel dan petrol yang mana tertuduh mengetahui rakyat Malaysia tersebut mempunyai urusan rasmi dengannya sebagai pegawai kastam.

Menurut kenyataan itu lagi, mahkamah telah membenarkan permohonan peguam bela tertuduh, Mohd Shazale bin Mohd Salleh supaya hukuman penjara dan pembayaran balik wang rasuah ditangguhkan sementara menunggu rayuan yang akan difailkan oleh peguam bela.

Pertuduhan terhadap Haji Mazlan telah dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani pada 19 Julai 2011 dan tertuduh didapati bersalah oleh mahkamah pada 29 Ogos 2015.

ARTIKEL YANG SAMA