Terkejut ‘bebola api’ dari langit

Terkejut ‘bebola api’ dari langit

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 29 Jan – Segelintir penduduk berhampiran dan pemandu kenderaan terkejut apabila mendapati langit gelap bertukar cerah dengan kelipan-kelipan bulatan cahaya api (gambar) yang jatuh dari langit ke hutan berdekatan dengan lebuh raya baru Telisai-Sungai Liang dan Sekolah Kejuruteraan dan Sains, Politeknik Brunei di Sungai Liang, di sini, malam ini.

Selepas menerima maklumat daripada orang ramai, wartawan Media Permata bergegas ke tempat kejadian sekitar jam 7 malam dan mendapati cahaya bulatan api yang dimaksudkan itu telah menarik perhatian pemandu-pemandu sehingga menyebabkan beberapa kenderaan memberhentikan kereta mereka di tepi jalan.

Bagaimanapun, apa yang dikatakan bebola api itu sebenarnya adalah salah satu daripada satu latihan tembakan yang dikendalikan askar Gurkha dari Kompeni A, di kawasan hutan tersebut.

Dalam temu bual bersama wartawan Media Permata, Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam telah mengesahkan mengenai latihan tembakan tersebut dan berkata latihan itu telah dijalankan sejak Rabu lalu hingga hari ini pada setiap petang, cuma hari ini latihan tersebut diadakan sehingga malam.

pg01_160130_a

Tambahan lagi, Balai Polis Sungai Liang telah pun dimaklumkan lebih awal mengenai latihan tersebut.

Menurut pihak polis, mereka menerima laporan mengenai cahaya bebola api yang turun dari langit yang menjadi kemusykilan penduduk, namun memberi jaminan bahawa latihan bagi tembakan tersebut jauh dari mana-mana perkampungan atau jalan raya.

ARTIKEL YANG SAMA