Terkilan tidak dapat terbang pada saat-saat akhir

Terkilan tidak dapat terbang pada saat-saat akhir

SAYA selaku warganegara Brunei Darussalam ingin memberikan sedikit pandangan dan cadangan semata-mata untuk kebaikan pihak penerbangan RB.

Sebagai orang Brunei, saya lebih suka memilih khidmat penerbangan tempatan ketika belayar ke luar negara dengan membeli tiket secara online.

Baru-baru ini, ketika mengisi maklumat peribadi untuk tempahan dan pembelian tiket penerbangan RB, tanpa menyedari bahawa dokumen pasport saya akan mansuh dalam masa 5 bulan beberapa hari daripada tarikh pelayaran. Bagaimanapun tempahan dan pembelian tiket saya diterima dan pembayaran berkenaan telah berjaya dibuat. Tidak ada pun sebarang maklumat sebagai amaran atau ingatan ‘validity’ pasport diumumkan.

Pada hari pelayaran, saya telah mendaftar secara ‘online check-in’ bagi memudahkan urusan di lapangan terbang. Sekali lagi, pendaftaran ‘online check-in’ saya diterima dan disahkan. Tanpa amaran mahupun peringatan daripada pihak penerbangan RB mengenai tarikh pasport yang akan luput dalam masa 6 bulan.

Apa yang membuat saya terkilan ialah semasa melakukan ‘bag drop’ di kaunter lapangan terbang, di mana saya dimaklumkan bahawa saya tidak dibolehkan untuk belayar memandangkan pasport saya akan mansuh dalam 6 bulan lagi. Kakitangan bertugas juga bertindak membatalkan ‘online check-in’ saya dan tidak dibenarkan meneruskan urusan pendaftaran bagasi.

Perkara tersebut sangat mendukacitakan kerana telah merugikan masa saya dan kewangan saya

Sehubungan itu, adalah disarankan kepada pihak Penerbangan RB untuk mengambil langkah lebih berhati-hati mengenai penerimaan tempahan dan pembelian tiket, serta mengamalkan sikap berhemah serta tindakan bijaksana ketika menghadapi perkara sedemikian.

Perkara ini perlu difikirkan untuk mengelakkan kerugian kepada pihak pelanggan RB serta menimbulkan imej buruk kepada pihak penerbangan RB sebagai satu-satunya penerbangan tempatan yang membawa nama Negara Brunei Darussalam.

Isunya ialah semasa pembelian tiket diterima untuk membuat pembayaran tetapi sewaktu hendak belayar ditegah untuk ‘check-in’.

Saya dimaklumkan masalah ini juga terjadi kepada penerbangan lain, walau bagaimanapun adalah lebih baik untuk pihak penerbangan RB mengatasi masalah ini lebih dahulu sebagai langkah permulaan agar pengguna tidak merasa teraniaya.

Penerbangan RB adalah penerbangan antarabangsa yang mempunyai identiti keBruneian dan keislaman yang sangat tinggi nilainya serta dikira lebih ‘advanced’ umpamanya: melaksanakan tegahan merokok di dalam pesawat, tidak ada hidangan minuman keras dan semua makanan dijamin kehalalannya serta memulakan doa belayar sebelum penerbangan dilakukan yang mana tidak ada di dalam penerbangan antarabangsa yang lain di luar negara mengimplementasikan cara sedemikian.

Dalam hal ini, bisaitah pihak Penerbangan RB ani mengatasi masalah sepertimana yang saya nyatakan di atas tadi untuk kebaikan semua sama ada atas nama negara yang tercinta dan juga demi pelanggan RB. – Eunis

ARTIKEL YANG SAMA