Terlepas hukuman penjara

Terlepas hukuman penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Malaysia terlepas dari menjalani hukuman penjara yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Abdul Muiz bin Haji Marali, 24, terlepas daripada hukuman penjara tiga bulan selepas membayar denda $3,600 bagi tuduhan memiliki sembilan karton rokok di dalam keretanya pada 21 April 2015 di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah.

Pegawai kastam yang bertugas menemui rokok-rokok itu disembunyikan di bawah alas kaki penumpang depan dan juga di dalam beg yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang.

Defendan mengaku membeli rokok itu di Limbang pada harga $180 di mana duti eksais yang seharusnya dibayar oleh defendan untuk membawa masuk rokok itu ialah $450.

Sementara itu, Dennis Phiong Ching Fong berusia 28 tahun yang berdepan dakwaan memiliki 60 karton rokok, juga terlepas dari meringkuk di penjara selama 12 bulan selepas membayar denda $18,000.

Dia didapati melakukan kesalahan itu apabila keretanya ditahan untuk pemeriksaan di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada 14 Januari 2013.

Pegawai kastam menemui rokok-rokok disimpan di bawah alas kaki penumpang depan, di bawah tempat duduk pemandu dan tempat letak kaki penumpang belakang.

Defendan mengaku membawa masuk rokok-rokok itu dari Limbang untuk dijual di negara ini.

Duti eksais yang seharusnya diisytiharkan oleh defendan untuk rokok-rokok itu ialah $3,000.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin mengarahkan kesemua rokok yang dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA