Terlepas menjadi penghuni penjara

Terlepas menjadi penghuni penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Seorang lelaki tempatan terlepas daripada meringkuk di penjara selama tiga bulan selepas membayar denda $2,000 yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki dadah terkawal dan memiliki peralatan mengambil dadah pada 2014.

Mohamad Fadle bin Haji Ali Aziz, 32, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan, Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa memiliki 0.1083 gram Methylamphetamine pada 9 Januari 2014 kira-kira jam 10:04 pagi di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba.

Defendan juga berdepan kesalahan memiliki peralatan mengambil dadah pada tarikh dan alamat yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Biro Kawalan Narkotik, Norizanullah binti Haji Awang Jaya.

pg06_160128_mahkamah logo

ARTIKEL YANG SAMA