Terminal baru Jakarta dibuka

Terminal baru Jakarta dibuka

JAKARTA, 9 Ogos – Lapangan terbang utama bandar Jakarta, Indonesia hari ini telah membuka satu terminal baru yang akan membolehkan hab penerbangan penuh sesak itu dapat menampung lebih puluhan juta lagi penumpang dalam setahun.

Bilangan penumpang udara meningkat di Indonesia, negara kepulauan terbesar di dunia dan ekonomi teratas di Asia Tenggara, ketika kelas pertengahan meningkat memilih untuk menggunakan perjalanan udara namun infrastruktur berusia itu bergelut untuk menanggungnya.

Terminal bernilai AS$380 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, memiliki struktur futuristik dan luas, akan dapat mengendalikan kira-kira 25 juta penumpang setahun sebaik beroperasi sepenuhnya menjelang Mac tahun depan.

Tiga terminal lain di lapangan terbang paling sibuk negara itu pada masa ini mengendalikan kira-kira 60 juta penumpang setahun, mengatasi kapasiti mereka.

Penerbangan pertama, perkhidmatan domestik daripada syarikat penerbangan Garuda, berlepas awal hari ini. Terminal itu akan mula mengendalikan hanya penerbangan domestik Garuda sebelum perkhidmatan antarabangsa dijalankan.

Pemandangan menyeluruh menunjukkan ruang dalaman dewan berlepas di terminal 3 yang baru dibuka di Lapangan Terbang Anatarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, pinggir Jakarta, awal 9 Ogos. – AFP
Pemandangan menyeluruh menunjukkan ruang dalaman dewan berlepas di terminal 3 yang baru dibuka di Lapangan Terbang Anatarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, pinggir Jakarta, awal 9 Ogos. – AFP

Bercakap semasa pembukaan terminal itu, ketua eksekutif Garuda, Arif Wibowo memujinya sebagai ‘peristiwa penting bersejarah’ yang akan membantu menyediakan perkhidmatan lebih baik bagi para pelanggan.

Eman Suherman, seorang penumpang Indonesia di terminal itu, berkata dia ‘sangat bangga’ dengan terminal itu, menambah: “Ia di luar jangkaan kami.”

Terminal itu akhirnya akan bersambung dengan tengah Jakarta, kira-kira 30km jauhnya, menggunakan rangkaian kereta api.

Pada masa ini tidak ada landasan kereta api antara lapangan terbang dan pusat bandar, mengakibatkan para penumpang berdepan kesesakan lalu lintas teruk untuk menuju ke Jakarta pada waktu sibuk.

Selain infrastruktur berusia, sektor penerbangan Indonesia berdepan masalah dengan keselamatan dan mengalami beberapa siri nahas maut beberapa tahun kebelakangan.

Kereta api elektrik dari lapangan terbang menuju ke bandar itu dijangka siap pada awal 2017. – AFP/AP