Terminal baru Tawau operasi 5 Dis ini

Terminal baru Tawau operasi 5 Dis ini

TAWAU, 1 Dis – Terminal feri baharu di sini yang juga menempatkan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi kemasukan feri dan penumpang antarabangsa akan beroperasi pada 5 Disember ini, kata Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil.

Beliau berkata pengoperasian serta jeti untuk feri dan penumpang antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau yang terletak kira-kira 500 meter dari bangunan terminal feri baharu itu akan ditutup.

“Semua kapal dan penumpang dari Nunukan dan Tarakan Indonesia akan berlabuh di CIQ baharu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, CIQ lama pula akan digunakan untuk menerima kemasukan bot dan penumpang domestik dari Pulau Sebatik.

“Semua kawasan pelabuhan domestik lain termasuk di Batu-Batu ditutup selepas CIQ baharu beroperasi,” katanya lagi.

Selain itu, Alijus berkata kerajaan negeri komited menyiapkan projek terminal baharu bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Tawau dan pengguna antarabangsa.

“Pewujudan CIQ baharu ini dijangka dapat menambah kemasukan penumpang antarabangsa ke Tawau serta pening-katan kemasukan feri dari Tarakan dan Nunukan pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai rungutan berkaitan CIQ lama, beliau yakin masalah kelewatan feri untuk berlabuh dapat ditangani apabila empat kawasan feri berlabuh dibuka berbanding hanya dua sebelum ini.

“Fokus kami terhadap CIQ baharu, bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan lebih baik dari sebelumnya.

Bagi mengelak perkara itu tidak berulang, kerjasama Jabatan Pelabuhan dan Dermaga akan memperkemaskan jadual kemasukan kapal supaya lebih teratur dan mengambil kira persediaan anggota imigresen dan kastam yang bertugas di terminal itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Imigresen Daerah Tawau, Noraini Rasi yang ditemui berkata, buat sementara waktu, lapan anggotanya akan ditugaskan di terminal baharu itu.

“Penambahan anggota bertugas di terminal itu akan diselaraskan secara berperingkat mengikut keperluan dan kesesuaian dengan perjawatan anggota yang berkhidmat di Tawau,” katanya. – Bernama