Terminal terbakar, tiada cedera parah

Terminal terbakar, tiada cedera parah

ROM, 7 Mei (Reuters) – Lapangan terbang utama Rom, Fiumicino telah ditutup hari ini selepas berlakunya satu kebakaran yang memusnahkan teruk bangunan terminal antarabangsa utama namun tiada yang mengalami cedera parah dalam kejadian berkenaan, menurut para pegawai.

Lapangan terbang Itali yang paling sibuk dengan seramai 39 juta penumpang pada tahun 2014, akan kekal ditutup sehingga 2 petang (1200 GMT), kata mereka.

Alitalia, pengangkutan kebangsaan Itali, mengatakan semua penerbangan ke dan dari Fiumicino telah dibatalkan sehingga pembukaan semula kecuali beberapa penerbangan ketibaan antara benua.

Menurut para pegawai, beberapa penerbangan yang sudah bersedia untuk berlepas dari terminal lain di lapangan terbang itu telah dibenarkan untuk berlepas selepas kebakaran meletus.

Penutupan itu muncul pada waktu yang paling sibuk bagi lapangan terbang itu, apabila kebanyakan penerbangan trans-Atlantik dijadualkan untuk tiba dan berlepas.

Kepulan asap dapat dilihat di lapangan terbang antarabangsa Fiumicino, Rom tempat kebakaran meletus semalam. – AFP
Kepulan asap dapat dilihat di lapangan terbang antarabangsa Fiumicino, Rom tempat kebakaran meletus semalam. – AFP

Namun, para penumpang yang tiba bagi penerbangan awal pagi tidak dibenarkan untuk berada di dalam mana-mana terminal. Lebuh raya utama yang menghubungkan lapangan terbang ke Rom telah ditutup untuk membolehkan kenderaan kecemasan bertugas dan perkhidmatan kereta api dari pusat bandar telah ditangguhkan.

Kebakaran meletus sejurus selepas tengah malam (2200 GMT) di Terminal 3, yang digunakan untuk penerbangan antarabangsa.

Para pegawai pada awalnya mengatakan kebakaran telah bermula di kawasan bagasi namun kemudian menyatakan ia mungkin berlaku dari sebuah restoran.

Beberapa buah kedai di terminal itu juga musnah teruk.

Gambar yang disiarkan di dalam Internet menunjukkan asap tebal menyelubungi terminal itu.

Sekurang-kurangnya tiga orang lemas terhidu asap, kata seorang pegawai pasukan bomba, menambah bahawa kecederaan mungkin melibatkan bilangan yang ramai jika kebakaran itu meletus pada hari apabila terminal itu penuh sesak.

Menurutnya kebakaran itu berjaya dikawal dan puncanya masih lagi belum diketahui.

ARTIKEL YANG SAMA