Ternak arnab berpotensi tambah pendapatan

Ternak arnab berpotensi tambah pendapatan

BINTANGOR, 9 Nov – Penternakan arnab berpotensi untuk dijadikan sebagai usaha bagi meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar Sarawak yang masih lagi bergantung kepada tanaman komoditi.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pasaran bagi daging arnab adalah luas dan sekiranya mempunyai bekalan yang mencukupi, ia mampu menembusi pasaran luar.

Secara kasar, seorang petani yang menternak 100 ekor arnab boleh mendapat pulangan bersih lebih RM3,000.

“Ini adalah satu peluang bagi masyarakat luar bandar untuk menambahkan punca pendapatan mereka dan tidak hanya bergantung kepada tanaman komoditi yang turun naik harganya di pasaran,” katanya ketika merasmikan Program ‘Syukur Bersamamu’ di Golden Rabbit Farm dekat sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata, untuk menjayakan usaha tersebut, perlu ada sebuah ladang dijadikan sebagai ‘anchor farm’ yang bukan hanya membeli ternakan arnab tersebut daripada penternak malah membantu dari segi memberi kursus pengurusan ternakan kepada mereka.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas memegang seekor arnab sambil disaksikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah (empat, kanan) selepas merasmikan Program ‘Syukur Bersamamu’ di Golden Rabbit Farm. Turut hadir Pengarah Golden Rabbit Farm Meriamah Abdullah (kiri). – Bernama
Datuk Amar Douglas Uggah Embas memegang seekor arnab sambil disaksikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah (empat, kanan) selepas merasmikan Program ‘Syukur Bersamamu’ di Golden Rabbit Farm. Turut hadir Pengarah Golden Rabbit Farm Meriamah Abdullah (kiri). – Bernama

Peranan tersebut katanya boleh dimainkan oleh Golden Rabbit Farm yang kini mempunyai lebih 5,300 ekor arnab dan membekalkan lebih kurang 2.5 tan daging arnab sebulan ke pasaran tempatan.

“Jabatan Veterinar Negeri boleh adakan kursus penternakan arnab dan kami akan fokuskan untuk masyarakat luar bandar di Bahagian Sarikei dahulu sebelum kembangkan ke bahagian-bahagian lain,” kata Uggah.

Beliau yang mengharapkan kejayaan atas usaha tersebut berkata, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan punca pendapatan masyarakat luar bandar bagi mengurangkan jurang pendapatan mereka dengan penduduk bandar.

Pengarah Golden Rabbit Farm, Meriamah Abdullah berkata, pihaknya mahu menjadi peneraju di dalam industri penternakan arnab di peringkat nasional dan global. – Bernama