Teroka cara bangunkan Brunei

Teroka cara bangunkan Brunei

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Golongan masa kini diseru untuk menghayati isi kandungan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan supaya setiap orang perlu bersikap berani dan optimis untuk menjadi peneroka di samping berfikiran terbuka dengan apa yang diterokai itu.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa ditemui pihak Media Permata, hari ini, melahirkan harapan agar golongan belia untuk mula memikirkan cara-cara untuk membangun Negara Brunei Darussalam bermula hari ini dalam meraih masa depan yang sejahtera.

Menyentuh mengenai Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 pagi tadi, Yang Berhormat Pehin merasa amat berpuas hati dan amat berbangga atas kejayaan upacara itu kerana penat lelah dan latihan-latihan yang telah diadakan pada minggu lepas telahpun berbaloi.

Yang Berhormat Pehin juga memberitahu bahawa antara cabaran-cabaran yang telah diharungi semasa membuat persiapan sambutan ini adalah untuk menyatukan kesemua para peserta yang datang dari daerah-daerah lain.

Dalam mengatasi cabaran ini, ahli-ahli komuniti telah melakukan yang terbaik dalam memastikan para peserta tiba pada waktu yang ditetapkan dan menjaga baik kebajikan dan kesihatan peserta-peserta.

Sehingga hari ini, menurut beliau, ahli-ahli komuniti tidak menerima apa-apa aduan atau perkara-perkara yang tidak baik berlaku.

Yang Berhormat Pehin turut mengucapkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas usaha gigih para belia yang telah sama-sama berganding bahu dalam menjayakan upacara perhimpunan agung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA