Teroka pasaran halal di Yunan

Teroka pasaran halal di Yunan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Dis – Industri Halal Negara Brunei Darussalam mempunyai tarikan dan potensi yang dapat dimajukan di China khususnya Wilayah Yunan yang mempunyai pasaran yang besar serta permintaan yang amat luas bagi produk-produk dan makanan halal.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Wilayah Yunan, Ma Kaixian berkata, kedudukan Brunei yang berada di tengah-tengah laluan penting di rantau Asia Tenggara juga amat menarik bagi pengusaha produk halal dari Wilayah Yunan sebagai pusat atau pintu masuk ke pasaran Asia dan Asia Tenggara.

Pada masa yang sama, tambah beliau, pengalaman Brunei dalam bidang persijilan halal bertaraf dunia juga merupakan satu bidang yang dapat diterokai dan dikembangkan bagi pengusaha-pengusaha produk halal dari wilayah itu serta menjadi bidang bagi meningkatkan kerjasama serta pelaburan dua hala di antara Brunei dan China khususnya bagi Wilayah Yunan.

Ma Kaixian menyatakan perkara ini semasa Lawatan Muhibah Delegasi dari Wilayah Yunan, China ke Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Berakas, hari ini.

Ma berkata bahawa Yunan mempunyai lebih 46 juta orang penduduk dengan kira-kira 700 ribu orang beragama Islam dan industri produk halal di wilayah itu, masih lagi membangun dengan permintaan produk-produk halal terus meningkat bukan sahaja dalam kalangan pengguna Islam tetapi juga bukan Islam.

Ma Kaixian mengharapkan kerjasama dua hala dalam industri produk halal di antara Brunei dan China dapat ditingkatkan.
Ma Kaixian mengharapkan kerjasama dua hala dalam industri produk halal di antara Brunei dan China dapat ditingkatkan.

Dalam hubungan itu, beliau berkata bahawa pasaran bagi produk halal di wilayah itu merangkumi hampir kesemua penduduk wilayah berkenaan dan oleh itu, pasarannya adalah cukup besar dan beliau percaya bahawa menerusi kerjasama di antara pengusaha China dan pengusaha Brunei, pasaran itu mampu diterokai bersama.

Mengulas mengenai lawatan ke Brunei, Ma berkata lawatan selama tiga hari itu dihasratkan untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala di antara Brunei dan China terutama dalam bidang industri halal.

“Kita telah berkongsi pendapat dan pandangan mengenai cara terbaik untuk mempromosikan kerjasama kita dalam bidang ini.

“Kami juga telah mengadakan lawatan ke jabatan-jabatan dan agensi yang berkenaan untuk membincangkan mengenai potensi mengadakan kerjasama serta kaedah yang terbaik bagi mengembangkan industri makanan halal terutama dari segi persijilan halal.”

Sementara itu, Duta Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian pada majlis itu berkata bahawa pihak kedutaan amat mengalu-alukan lawatan delegasi dari China ke Brunei kerana setiap lawatan delegasi itu membuka ruang dan peluang bagi mempromosikan kefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua buah negara.

Beliau berkata bahawa sepanjang lawatan itu, pihak delegasi telah berpeluang untuk mengadakan lawatan dan perbincangan dengan pelbagai jabatan serta agensi yang berkenaan di mana beliau yakin lawatan itu akan menjadi detik permulaan bagi kerjasama yang lebih kukuh di antara Brunei dan Wilayah Yunan.

Terdahulu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei, Haji Razali bin Haji Johari berkata bahawa lawatan delegasi dari Wilayah Yunan itu adalah tepat pada masanya yang mana ia memberikan penumpuan kepada produk-produk halal dan bidang itu merupakan salah satu bidang industri yang terus diberikan keutamaan khususnya dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Beliau menyatakan harapan supaya pengusaha produk halal dari Brunei akan dapat bekerjasama dengan pengusaha produk halal dari China di mana mereka dapat mengadakan kerjasama bagi pengeluaran produk halal bagi memenuhi permintaan yang tinggi bagi produk-produk halal bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga pasaran antarabangsa seperti Amerika Syarikat.

Haji Razali berharap lawatan delegasi itu, dapat mengadakan perbincangan dengan pengusaha produk halal di Brunei untuk memajukan bersama industri berkenaan.

Di samping itu, beliau turut melahirkan harapan agar para delegasi dapat melihat potensi Brunei daripada segi kedudukan negara sebagai pintu masuk ke pasaran yang lebih besar di rantau Asia Tenggara dan pasaran BIMP- EAGA serta untuk menubuhkan pejabat mereka di Brunei supaya mampu untuk menerokai peluang-peluang yang terdapat bagi memasuki pasaran di rantau berkenaan.

Pada majlis itu juga, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad menyampaikan taklimat mengenai peranan, sejarah dan usaha yang dilaksanakan oleh dewan perniagaan itu untuk membantu pembangunan perusahaan tempatan serta memberikan maklumat mengenai usaha negara bagi menarik pelabur-pelabur di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA