Teroka peluang industri kreatif

Teroka peluang industri kreatif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Pengalaman dan idea yang diperoleh para peserta belia semasa lawatan ke pusat-pusat industri kreatif di Malaysia dipercayai mampu memberikan mereka semangat dan cetusan idea untuk meneroka peluang dan menghasilkan produk kreatif mereka sendiri.

Produk-produk yang dihasilkan itu diharap boleh dipasarkan di pasaran tempatan sekali gus membuka peluang untuk mereka meneroka bidang perniagaan serta membantu mengembangkan industri kreatif tempatan.

Harapan itu disuarakan oleh Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Dayang Shahrinah binti Haji Abdul Rahman dalam temu bual bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Dengan meneroka peluang perniagaan industri kreatif itu, para belia akan mendapat satu lagi cara untuk menambahkan pendapatan, jelasnya lagi selaku ketua rombongan Program Pertukaran Belia Antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

“Peluang menyaksikan perkembangan dan program pembangunan belia khususnya dalam bidang industri kreatif di Malaysia dapat membantu mengembangkan program pembangunan belia di Brunei bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam industri kreatif,” kata Dayang Shahrinah.

Dato Paduka Dr Haji Affendy dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai dengan rombongan belia yang menyertai program pertukaran belia itu.
Dato Paduka Dr Haji Affendy dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai dengan rombongan belia yang menyertai program pertukaran belia itu.

Di samping mendapat pengalaman mengenai industri kreatif di Malaysia, para peserta yang terdiri daripada belia dari pelbagai latar belakang itu diharap dapat berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan bersama belia Malaysia untuk mengeratkan lagi persahabatan dan persefahaman di antara kedua-dua negara.

Rombongan Brunei Darussalam dalam program itu terdiri daripada 10 peserta termasuk mahasiswa Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei, para penuntut Pusat Tingkatan Enam Meragang dan Institut Kemuda, Ketua Kelab Pusat Belia Daerah Temburong, bekas penuntut Pusat Pembangunan Belia dan alumni Program Khidmat Bakti Negara.

Hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin di mana beliau menasihatkan mereka untuk sentiasa menjaga nama baik negara selaku duta kecil negara sepanjang program berkenaan.

Turut hadir ialah para pegawai kanan KKBS serta beberapa anggota keluarga ahli rombongan. Rombongan negara yang menyertai program itu akan berada di Malaysia selama enam hari bermula hari ini hingga 7 Mei.

Sepanjang program itu, mereka akan membuat kunjungan hormat ke Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Malaysia serta melawat Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN), Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Malaysian Global Innovation dan Creativity Centre (MAGIC) dan Pusat Inisiatif Biji Biji.

Rombongan akan mengadakan sesi dialog bersama Majlis Belia Malaysia dan menyertai program inap desa bersama keluarga angkat.

Program ini merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia selepas memorandum persefahaman kerjasama dalam bidang kebeliaan dan kesukanan ditandatangani pada Julai 2011.

Program ini merupakan pertukaran balas Negara Brunei Darussalam ke Malaysia setelah rombongan Malaysia melawat negara ini pada April 2014.

ARTIKEL YANG SAMA