Teroka potensi teknologi dron penghantaran pos

Teroka potensi teknologi dron penghantaran pos

CYBERJAYA, 3 Dis (Bernama) – Malaysia sedang meneroka potensi penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron dalam sistem penghantaran bagi industri pos dan penghantaran barangan.

Menurut Ketua Digital Ekosistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, banyak negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Singapura kini sedang melakukan kajian rintis penggunaan UAV dalam sistem pos dan penghantaran mereka.

Berucap pada sesi rangkaian bersama SKMM dan Persatuan Syarikat-syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) di sini hari ini, beliau berkata teknologi UAV terkini mempunyai keupayaan membawa beban maksimum sekilogram dengan jarak 10 kilometer.

Ketua Digital Ekosistem SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Ketua Digital Ekosistem SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Berkongsi pengalaman melihat kajian rintis Swiss Post di Switzerland mengenai keupayaan dron dalam penghantaran ketika berhadapan dengan empat musim di negara berkenaan, Mohd Ali berkata syarikat tersebut yakin bahawa sistem baru itu dapat dilaksanakan secara komersial pada Julai tahun depan. Beliau berkata peserta industri tempatan terutama AMEC wajar berbincang mengenai kebolehupayaan negara untuk turut meneroka potensi sistem penghantaran baru berkenaan.

“SKMM, sebagai agensi pengawal selia, sedia untuk membawa agensi berkaitan termasuk Jabatan Penerbangan Awam untuk mengkaji penggunaan dron di negara ini dalam sistem penghantaran,” katanya.

Mohd Ali dalam pada itu berkata SKMM akan mengetuai perbincangan dalam menggubal garis panduan keselamatan untuk industri pos dan penghantaran tidak lama lagi bagi menangani ancaman pengganas.