Terokai pasaran Australia

Terokai pasaran Australia

SYDNEY, 30 Sept (Bernama) – Usahawan makanan Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, digalakkan meneroka pasaran Australia berdasarkan permintaan besar dan berpotensi untuk produk makanan Asia.

Konsul/Pengarah Kementerian Pertanian (MOA) di sini, Nor Azian Ab Latif, berkata kebanyakan produk makanan diproses dari Malaysia memenuhi syarat yang dikenakan oleh kerajaan Australia, sekali gus memudahkannya untuk memperoleh akses ke pasaran pengguna Australia yang luas.

“Kami memberi tumpuan kepada produk yang boleh memperoleh akses langsung ke pasaran Australia memandangkan ia sudah pun memenuhi syarat seperti mempunyai sijil kesihatan.

Produk ini mudah memasuki Australia berbanding makanan mentah yang perlu memenuhi syarat yang lebih ketat.

“Makanan sejuk beku seperti karipap, roti canai, keropok ikan dan pes makanan, yang menjadi makanan kegemaran komuniti Australia, perlu memenuhi standard yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama di sini.

Tahun lepas, jumlah eksport produk makanan dan persediaan, ke Australia bernilai RM731 juta daripada RM1.4 bilion eksport barang makanan Malaysia ke sini.

Dari Januari hingga April tahun ini, nilai eksport barang makanan berjumlah RM217 juta.

Azian berkata pada Ahad, MOA membawa lapan usahawan Malaysia yang berminat menembusi pasaran Australia, menyertai Malaysia Festival (Mfest), sebagai antara usaha untuk meningkatkan akses dan pendedahan pasaran.

Festival itu yang memasuki edisi ke-25 tahun ini, merupakan acara utama Malaysia yang berlangsung setiap tahun di Sydney dan dianjurkan oleh penuntut Malaysia.

Menurut Azian, Mfest berjaya menarik perhatian masyarakat Australia pada masa lepas dengan lebih 25,000 orang mengunjunginya, sekali gus memenuhi objektif MOA untuk meningkatkan permintaan ke atas produk Malaysia.

MOA menjalin usaha sama dengan Mfest menganjurkan acara itu. Ia menyediakan ruang untuk usahawan memasarkan produk dan jenama masing-masing. Kementerian juga menganjurkan sesi perkongsian pengetahuan dan padanan perniagaan untuk usahawan, kata Azian.

Beliau berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia yang dilaksanakan pada 2013, telah memperkukuh hubungan dagangan antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu antara lain menyediakan tarif keutamaan ke atas semua produk Malaysia yang memasuki Australia.

ARTIKEL YANG SAMA