Terokai potensi aplikasi teknologi kewangan Islam

Terokai potensi aplikasi teknologi kewangan Islam

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Dengan perkembangan teknologi yang pesat di seluruh dunia, amat penting bagi Negara Brunei Darussalam untuk terus peka dengan inovasi-inovasi itu supaya negara tidak akan ketinggalan.

Salah satu inovasi itu ialah Teknologi Kewangan (Fintech) di mana dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah mula memasuki ruang Kewangan Islam menerusi beberapa buah syarikat Fintech utama di Dubai, Jakarta dan Singapura yang menawarkan penyelesaian kewangan patuh syariah.

Fintech dalam Kewangan Islam dipercayai akan terus berkembang dengan lebih banyak inovasi dimanfaatkan menerusi teknologi-teknologi baru yang akan menyumbang secara positif kepada evolusi produk dan perkhidmatan Kewangan Islam yang ditawarkan.

Sehubungan dengan itu, penganjuran seminar Fintech Islam yang bermatlamat untuk meneroka potensi aplikasi teknologi kewangan dan peluang dalam Fintech Islam bagi Brunei dan Korea adalah amat bertepatan, jelas Ketua Bahagian Teknologi Inovatif dan Industri Kreatif, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Julianah binti Ali Ahmad dalam kata alu-aluannya pada Seminar Brunei-Korea bagi Menerokai Fintech Islam yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di seminar berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Perdagangan dan Industri Perhimpunan Kebangsaan Republik Korea, Kim Jung-Hoon, Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Cho Won Myung, penceramah-penceramah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan para jemputan khas.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan dari Korea dan Brunei yang menghadiri seminar berkenaan.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan dari Korea dan Brunei yang menghadiri seminar berkenaan.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti yang menghadiri forum berkenaan.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti yang menghadiri forum berkenaan.

Dayang Julianah dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa dengan kekuatan Brunei dalam bidang Kewangan Islam dan Korea dalam bidang teknologi dan penyedia penyelesaian, sudah tiba masanya untuk kedua-dua buah negara mengeksploit Fintech Islam yang boleh menjana ekonomi baru, pasaran baru serta pertumbuhan baru dalam sektor kewangan.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan penghargaan kepada para penceramah dan pakar dari kedua-dua buah negara yang akan mengongsi pandangan mereka dalam kewangan Islam, e-bayaran dan peluang kerjasama serta Fintech Islam.

Beliau berharap seminar itu dapat menyediakan peluang bagi perniagaan dan institusi kewangan dari kedua-dua buah negara untuk mendapatkan pandangan serta ilmu pengetahuan mengenai kemungkinan aplikasi serta kerjasama dalam bidang Fintech Islam.

Pada masa yang sama, industri tempatan juga digalakkan untuk terus menyokong Fintech dan inovasi baru supaya dapat menjana perniagaan yang meriah dan mapan bagi pertumbuhan ekonomi negara.

Kim Jung-Hoon menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Kim Jung-Hoon menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Dayang Julianah menyampaikan kata alu-aluannya di majlis itu.
Dayang Julianah menyampaikan kata alu-aluannya di majlis itu.

Sementara itu, Kim Jung-Hoon dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa seminar itu menyediakan peluang yang amat baik bagi Brunei dan Korea membincangkan mengenai kaedah-kaedah untuk bekerjasama dalam bidang industri teknologi kewangan yang dipercayai mampu menjadi industri global generasi akan datang.

Beliau juga berkata, seminar itu merupakan titik permulaan bagi kedua-dua buah negara untuk bekerjasama rapat bukan sahaja dalam bidang industri teknologi kewangan tetapi juga dalam pelbagai bidang.

Seminar setengah hari itu, mengetengahkan ceramah-ceramah oleh penceramah dari Republik Korea dan Negara Brunei Darussalam yang membincangkan mengenai kerjasama di antara Brunei dan Korea bagi menyasarkan pasaran Fintech Islam, model perniagaan e-bayaran Korea, landskap pembayaran di Brunei dan Kewangan Islam.

Seminar itu turut menyaksikan perbincangan forum terbuka yang mengetengahkan empat orang ahli panel iaitu Naib Presiden, Persatuan Industri Fintech Korea, Kim Tae Bong; Ketua Pasukan, Paycock Co. Ltd, Kim Bo Ram; Pengurus Kanan, Unit Pembayaran dan Sistem Penyelesaian, Bahagian Operasi Monetari, Autoriti Monetari Brunei Darussalam, Lim Shaw Fhen dan Pensyarah, Universiti Brunei Darussalam, Haji Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar.

ARTIKEL YANG SAMA