Terowong penghubung jambatan

Terowong penghubung jambatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Projek Jambatan Penghubung Daerah Brunei-Muara dan Daerah Temburong akan mempunyai jambatan dan terowong penghubung di Mentiri sepanjang 3.6 kilometer yang akan dibina di bawah Pakej CC1.

Pakej CC1 iaitu bagi pembinaan jambatan dan terowong di Mentiri kini dalam proses tawaran dan dijangka siap pembinaannya pada 2019.

Perkara itu antara yang dijelaskan oleh Pemangku Jurutera Kerja Kanan, Jabatan Jalan Raya (JKR), Awang Rafitra bin Haji Abdul Razak dalam taklimatnya mengenai status pembinaan Projek Jambatan Temburong semasa Sesi Muzakarah bagi Cadangan Projek Jambatan Temburong dengan penduduk kawasan yang terlibat khususnya bagi penduduk Kampung Sungai Besar. Sesi muzakarah tersebut berlangsung di Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri, hari ini.

Terdahulu, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, JKR, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa projek itu merupakan salah satu projek kebangsaan terbesar yang melibatkan pembinaan jambatan kira-kira 30 kilometer dan akan menjadi penghubung kepada Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei-Muara dengan Jalan Labu Estet di Daerah Temburong, merentasi Teluk Brunei.

Jambatan itu secara keseluruhan apabila siap nanti akan menjadi salah sebuah jambatan yang terpanjang di rantau Asia Tenggara, jelasnya lagi.

Lakaran artis untuk Jambatan Temburong yang merentasi Teluk Brunei dan akan dihubungkan oleh terowong di Mentiri.
Lakaran artis untuk Jambatan Temburong yang merentasi Teluk Brunei dan akan dihubungkan oleh terowong di Mentiri.

Sesi muzakarah yang dikendalikan oleh JKR itu dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim, selaku Ketua Kampung Belimbing, Mukim Kota Batu, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta penduduk kampung yang terlibat.

Haji Amer Hishamuddin berkata lagi bahawa sesi muzakarah itu bertujuan untuk mengongsi maklumat-maklumat pemberigaan Cadangan Projek Jambatan Temburong, di samping menyediakan ruang bagi sesi soal jawab antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pembinaan jambatan bersama masyarakat dan penduduk di sekitar kawasan yang terlibat, khususnya penduduk Kampung Sungai Besar.

“Sesi permuzakarahan itu juga dihasratkan sebagai wadah kerajaan untuk sama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama penduduk kampung yang terlibat secara langsung dengan projek berkenaan.”

Dalam majlis itu, maklumat tentang status-status Cadangan Projek Jambatan Temburong telah disampaikan oleh Pemangku Jurutera Kerja Kanan, JKR, Awang Rafitra bin Haji Abdul Razak, yang antara lain menjelaskan pembinaan jambatan berkenaan dibahagikan kepada enam pakej kontrak dan pembinaan jambatan itu dianggarkan akan memakan masa empat tahun serta akan siap pada 2019.

Semasa sesi muzakarah itu juga, klip video mengenai proses kerja pembinaan turut ditayangkan serta sesi soal jawab bagi penduduk kampung yang terlibat.

Seramai 17 orang ahli panel telah diundang yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bagi memberikan keterangan terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penduduk kampung, serta menyampaikan maklumat pemberigaan mengenai Cadangan Projek Jambatan Temburong.

Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Sungai Besar, Haji Kamis bin Abdullah dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata bahawa muzakarah yang diadakan merupakan satu inisiatif yang amat bijak, berguna dan baik kerana ia memberikan peluang kepada penduduk kampung yang terjejas untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan projek pembinaan jambatan itu.

Beliau juga berharap cadangan dan pandangan-pandangan yang diberikan oleh penduduk kampung semasa acara itu nanti akan dapat didengar serta ambil maklum oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Sesi-sesi muzakarah serupa juga akan diadakan lagi di beberapa tempat di negara ini, khususnya di kawasan-kawasan yang terjejas, di mana sesi muzakarah seterusnya yang dikhususkan bagi penduduk Kampung Serasa akan diadakan pada 13 November nanti.

Dengan adanya sesi muzakarah itu, diharapkan dapat menangani beberapa isu yang bersangkut-paut dengan keselamatan, kesihatan dan keselesaan orang ramai, lalu-lintas, kecemasan dan sebagainya sepanjang proses pembinaan Cadangan Projek Jambatan Temburong berkenaan.

Pembinaan jambatan tersebut dijangka mengambil masa selama 48 bulan yang melibatkan konsultan-konsultan dan syarikat pembinaan tempatan dan antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA