Terpaksa ditutup

Terpaksa ditutup

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 29 Mac – Kebakaran hutan di Rasau hampir menjejaskan sebuah stesen minyak milik Syarikat Koperasi Kampung Sungai Teraban dalam kejadian awal pagi tadi, namun kepantasan anggota Stesen Balai Bomba Cawangan Kuala Belait berjaya meredakan api sebelum keadaan bertambah teruk.

Dalam temu bual Media Permata bersama pengurus bersama syarikat koperasi tersebut, Haji Ali bin Mat dan Haji Kipli bin Haji Omarali memberitahu, mereka menerima panggilan daripada kakitangan mereka seawal jam 4 pagi tadi dan membuat keputusan untuk menutup stesen minyak tersebut dan mengikuti protokol yang diberi oleh BSM (Brunei Shell Marketing) mengenai aspek-aspek keselamatan yang perlu dilakukan ketika dalam situasi kecemasan sebegini seperti menutup pam, pagar dan menjauhkan kenderaan tangki dari kawasan kebakaran.

“Sejurus kami mendapat panggilan bahawa api sedang marak berdekatan dengan stesen minyak, kami membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba, sementara menunggu kedatangan pihak bomba kakitangan kami cuba sedaya-upaya memadam api dengan menyimbah air ke arah api yang hampir mencecah pagar yang melindungi kawasan stesen tersebut,” Haji Ali menjelaskan.

Stesen Minyak Shell Sungai Teraban diselubungi asap dan terpaksa ditutup sementara sebagai langkah keselamatan. - Gambar ihsan Syarikat Koperasi Kg Sg Teraban
Stesen Minyak Shell Sungai Teraban diselubungi asap dan terpaksa ditutup sementara sebagai langkah keselamatan. – Gambar ihsan Syarikat Koperasi Kg Sg Teraban

Haji Kipli pula memberitahu bahawa stesen minyak tersebut ditutup dari awal pagi hingga jam 10:30 pagi tadi apabila diberi kebenaran oleh pihak bomba setelah situasi di sana reda dan stesen minyak tersebut kembali beroperasi seperti biasa.

“Alhamdulillah kami bersyukur dan menghargai pihak bomba atas bantuan mereka dalam mengawal api daripada merebak dan tidak dilupakan juga pihak polis yang membantu menjalankan tugas mereka dalam mengawal lalu lintas dan juga kepada Jabatan Kerja Raya atas bantuan mereka,” ujar Haji Kipli lagi.

ARTIKEL YANG SAMA