Terpaksa meringkuk 8 bulan di penjara

Terpaksa meringkuk 8 bulan di penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160229_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seorang lelaki tempatan terpaksa menjalani hukuman penjara lapan bulan selepas gagal membayar denda $8,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Awang Kifrawi bin Awang Tudin, 38, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin atas pertuduhan memiliki 0.208 gram Methylamphetamine di tandas Terminal Feri Temburong pada 7 Ogos 2010 dan mengambil dadah itu pada tarikh yang sama.

Dia juga mengaku bersalah atas dakwaan memiliki 0.7154 gram Methylamphetamine di sebuah rumah di Kampung Sungai Besar pada 5 November 2012 dan juga mengambilnya pada tarikh yang sama.

Kertas pertuduhan menyebut, ujian air kencing yang diambil daripada tertuduh dalam dua kes berasingan itu setelah dianalisis, didapati mengandungi dadah.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki tempatan yang berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya diberikan tempoh sehingga 28 Mei untuk membayar denda $4,500 yang dijatuhi atas kesalahan mengambil dadah pada 2012.

Edy Malek, 37, mengaku bersalah atas tiga dakwaan mengambil Methylamphetamine pada 1 Februari 2012, 16 Jun 2012 dan 26 Jun 2012.

Ujian air kencing yang diambil daripada tertuduh pada tarikh tersebut selepas dianalisis didapati positif dadah.

Majistret Kanan turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani 18 minggu penjara jika gagal membayar denda itu dalam tempoh yang diberikan.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes tersebut dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Narkotik, Norizanullah binti Haji Awang Jaya.

ARTIKEL YANG SAMA