Terpaksa mulai hidup baru

Terpaksa mulai hidup baru

PITAS, 6 Jan – Ada mangsa banjir di daerah ini yang telah pulang ke rumah masing-masing hari ini bagaikan terpaksa memulakan hidup baharu selepas barangan keperluan harian di rumah mereka rosak setelah kediaman mereka dinaiki air sejak Rabu lepas.

Seorang penduduk Masri Rumanjee, 50, berkata apabila dibenarkan pulang dari pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Rukom pagi tadi, beliau bersama isteri dan anak-anak mengambil keputusan untuk terus balik ke rumah untuk mengemas barang.

“Saya sedih melihat barang banyak rosak. Semua barang keperluan harian musnah seperti peralatan memasak dan barangan dapur.

Semua barangan lain seperti peti sejuk, televisyen, tilam dan peralatan sekolah anak saya musnah, kecuali dokumen penting yang sempat saya selamatkan sebelum ke pusat pemindahan kira-kira pukul 4 pagi Rabu lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya dekat sini, hari ini.

Masri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rukom Ulu berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM12,000.

Mapahin Mogantor menunjukkan paras banjir pada dinding rumahnya setelah air mulai surut di Kampung Rukom Ulu kelmarin. – Bernama
Mapahin Mogantor menunjukkan paras banjir pada dinding rumahnya setelah air mulai surut di Kampung Rukom Ulu kelmarin. – Bernama

“Saya menerima musibah ini dengan reda dan bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku membabitkan seluruh penduduk di kampung ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk di kampung sama, Mapahin Mogantar, 59, berkata beliau terpaksa membuang semua barang di rumahnya yang rosak akibat banjir tersebut. “Kini rumah saya kosong dan segala keperluan memasak telah rosak kerana rumah saya dinaiki air sehingga dua meter dan ini adalah kejadian kali kedua selepas banjir pada 2008.

Saya mengalami kerugian lebih RM10,000 dan kini kami sekeluarga se-perti kembali memulakan hidup di tempat yang baru kerana segala keperluan harian telah musnah,” katanya yang telah menetap di kampung berkenaan sejak 1990.

Mapahin juga berharap ada pihak yang tampil untuk membantu kesemua penduduk yang terjejas akibat banjir berkenaan.

“Kami semua penduduk di sini mengalami kesukaran selepas banyak keperluan harian musnah. Oleh itu kami berharap apa pihak yang berbesar hati untuk menghulurkan apa sahaja jenis bantuan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kampung itu Modongoi Tenajuan, 65, gembira selepas dibenarkan pulang semula ke rumahnya hari ini.

“Saya bernasib baik kerana rumah tidak terjejas teruk akibat banjir itu. Hanya sedikit barangan yang rosak dan barang lain seperti tilam tidak terkena air.

Saya juga sangat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang bencana ini, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sentiasa memantau keadaan di kawasan kampung kami,” katanya.

Sepanjang tempoh bencana melanda Pitas sejak Rabu lalu, 281 penduduk daripada 67 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan berkenaan apabila kediaman mereka di 16 buah perkampungan dinaiki air.

Semua pusat pemindahan banjir di daerah Pitas iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 Pitas ditutup pada 10 pagi tadi manakala pusat pemindahan SK Rukom ditutup sejam kemudian, manakala pusat pemindahan banjir di Dewan Terbuka Kampung Bilangau Besar ditutup kira-kira pukul 4 petang, semalam.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pitas Bubudan O.T Majalu ketika dihubungi berkata, Jabatan Kerja Raya kini sedang melakukan pemantauan dan mengambil tindakan untuk memperbaiki jalan raya yang rosak akibat banjir yang melanda daerah itu.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana juga masih dibuka selama 24 jam untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku lagi bencana banjir di daerah itu dalam tempoh terdekat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA