Terpaksa tolak bantuan

Terpaksa tolak bantuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Jun – Sepasang suami isteri yang mengalami masalah tiada tempat tinggal, mengakui terpaksa menolak beberapa bantuan yang pernah ditawarkan kepada mereka seperti berpindah ke berek kerajaan dan menempatkan anak-anak mereka tinggal di asrama sebelum ini atas alasan tertentu.

Awang Mohd Jeffery bin Mohd Salleh @ Punchak bin Munan, 44 dan isterinya Dayang Nur Liyana Abdullah,@ Duri Anak Nating, 43, ketika ditemui Media Permata, kelmarin, memberitahu memandangkan berbagai-bagai kekurangan seperti hanya memiliki sebuah kereta buruk dan sering rosak, serta jauh dari tempat bekerja dan anak-anak bersekolah mereka terpaksa menolak bantuan daripada Pusat Dakwah untuk memindahkan mereka ke Berek Kerajaan Lorong Tiga Seria selepas rumah mereka ranap dalam kejadian kebakaran dua tahun lalu.

Bukan itu saja, bagi pasangan itu, hidup di kampung agak mudah bagi mereka mendapatkan pencarian sampingan seperti memancing, mengutip besi buruk di kawasan Lebuh Raya Sungai Liang dan kurang perbelanjaan mereka berbanding jika mereka tinggal di kawasan bandar, yang menurut mereka agak sukar bergerak tambahan pula sering mengalami masalah kereta rosak dan tidak mampu menggantikan dengan yang baru.

Dayang Nur Liyana, juga memberitahu, mereka suami isteri, juga terpaksa menolak tawaran Kementerian Pendidikan untuk menempatkan anak-anak mereka tinggal di asrama Maktab Duli sebelum ini, memandangkan mereka berdua kadang-kadang tidak sihat dan anak-anaknya merupakan harapan mereka dalam membantu kerja rumah dan menjaga mereka suami isteri jika sakit.

Berita kedaifan keluarga Awang Mohd Jeffrey bersama isteri dan empat orang anaknya tinggal di sebuah pondok berdinding dan beratapkan zink di kawasan Kampung Sungai Mau Tampangan Labi, tersebar luas melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, dan ia juga amat mengejutkan pasangan itu sendiri.

Dayang Nur Liyana bersama anak-anaknya, dan kanan guru-guru Sekolah Rendah Bukit Sawat, Dayang Siti Yusrinah binti Mohd Azuin dan Dayang Nur Salmie Fathiyah binti Abdullah Koh.
Dayang Nur Liyana bersama anak-anaknya, dan kanan guru-guru Sekolah Rendah Bukit Sawat, Dayang Siti Yusrinah binti Mohd Azuin dan Dayang Nur Salmie Fathiyah binti Abdullah Koh.

Cerita yang tersebar itu mengatakan pasangan suami isteri itu dan anak-anak mereka Awang Azrin 15, Awang Azhar 14, Dayang Nurulhazirah, 13, dan Awang Azrul 12, tinggal di pondok diperbuat daripada zink, padahal sudah dua minggu sehingga kelmarin telah ditempatkan oleh pihak Sekolah Rendah Bukit Sawat di kantin sekolah berkenaan.

Pasangan itu mengakui, mereka tinggal di tapak rumah mereka yang hangus, kira-kira tiga minggu, dengan membina rumah berdindingkan zink, dan kadang-kadang tidur dalam kereta, sebelum menerima bantuan daripada pihak sekolah untuk ditempatkan di kantin.

“Setelah mendapati keluarga itu tinggal di kawasan tapak rumah mereka yang sudah hangus, dalam keadaan yang kurang selamat dan selesa untuk mereka terutama anak-anak mereka, kami melaporkan kepada ketua kampung dan membantu mereka sedaya mungkin dengan menempatkan di kantin sekolah kami,” kata Guru Kanan Pentadbiran dan Bahagian Penguruan SR Bukit Sawat, Awang Halery bin Haji Abu yang ditemui kelmarin.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah, ketika dihubungi menyatakan, sebelum ini keluarga itu tidak pernah mengadukan sebarang kesusahan, hanya pernah sekali sahaja si isteri membuat aduan, tetapi tentang masalah suami isteri, dan dalam usaha hendak membantu, ketua kampung juga telah menawarkan untuk mengisikan borang memohon bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Bagaimanapun beliau memberitahu, mesyuarat telah diadakan, kelmarin, bagi merundingkan usaha membantu keluarga tersebut bersama pegawai Daerah Belait, Majlis Ugama Islam Brunei, JAPEM dan Jabatan Sekolah-Sekolah.

Sementara itu, Awang Halery juga memberitahu bahawa, dalam masa dua bulan lalu pihak sekolah mendapati ketiga-tiga anak Awang Mohd Jeffery yang bersekolah dalam Tahun 6 kelihatan agak letih semasa berada di sekolah, apabila ditanya, mereka memberitahu terpaksa membantu ibu bapa mereka seperti mengutip besi buruk dan memancing ikan, buat keperluan seharian mereka sekeluarga.

Menurut beliau, ketiga-tiga anak lelaki Awang Mohd Jeffery, yang berusia, 15, 14 dan 12 tahun masih bersekolah di sekolah rendah dalam Tahun 6, kerana telah lewat didaftarkan masuk sekolah oleh kedua-dua ibu bapa mereka, manakala anak ketiga mereka belajar dalam Tahun 7 di Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah Lumut.

“Berita dalam WhatsApp yang menyatakan anak-anak Awang Mohd Jeffery tidak mempunyai surat beranak itu adalah tidak benar, cuma mereka tidak mempunyai kad pengenalan,” kata Awang Halery.

Awang Mohd Jeffery pernah bekerja di kilang papan selama tujuh tahun, kemudian bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Belait, tetapi berhenti kerana masalah kereta dan jauh dari tempat tinggalnya, dan masalahnya adalah kadang-kadang dihantar untuk bekerja ke Daerah Brunei dan Muara.

Untuk membantu suami yang sudah tidak mempunyai pekerjaan, Dayang Nur Liyana yang sebelumnya hanya seorang suri rumah tangga, kemudian bekerja di Kilang Papan Andulau sebagai tukang susun papan dengan gaji sehari $15, dan telah mendapat tempat tinggal di kawasan kilang papan tersebut, di sanalah keluarga itu tinggal selama ini, dan hanya empat bulan dia berhenti kerja, majikannya terpaksa mengarahkan mereka pindah, lalu mereka pindah ke tapak rumah lama yang hangus.

“Harapan kami hanyalah untuk bantuan membina rumah bagi menggantikan rumah kami yang sudah hangus sejak beberapa tahun lalu, dan juga suami sedang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan, itu sajalah kesusahan kami, tentang makanan Insya Allah masih dapat kami atasi, melalui usaha menjual besi buruk dan memancing ikan,” kata Dayang Nur Liyana.

Anak-anak Awang Mohd Jeffery juga mendapat bantuan daripada pihak Kementerian Pendidikan seperti pengangkutan pergi dan balik menggunakan van sekolah bagi anak perempuan yang belajar di sekolah menengah di Lumut, serta bantuan pembayaran yuran tahunan, baju sukan sekolah, buku-buku kerja, pakaian sekolah dan alat tulis.

Bagaimanapun, pada tahun ini bantuan dikurangkan hanya dengan memberikan baju sekolah sahaja, manakala kasut dan beg tidak lagi diberikan berbanding sebelumnya bantuan lengkap diberikan setahun sekali.

Sementara itu, Unit Dakwah Belait pula memberitahu Media Permata, Pusat Dakwah Islamiah pernah memberikan bantuan bulanan berupa keperluan harian sehingga tahun 2009 setelah mendapat bantuan daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di samping bantuan sejumlah $13,000 kepada keluarga berkenaan pada bulan Oktober 2011 hingga September 201 yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank.

Manakala itu, JAPEM pula telah memberikan sumbangan sejumlah $5,000 pada 30 Mei 2013 selepas kejadian kebakaran rumah keluarga itu, dalam masa yang sama Pusat Dakwah Islamiah, telah menyediakan Berek Kerajaan di Lorong Tiga Seria untuk menempatkan keluarga itu setelah kehilangan tempat tinggal, tetapi mereka menolaknya atas alasan jauh dari tempat isteri bekerja dan sekolah anak-anak mereka.

“Setelah berhenti bekerja di kilang papan, keluarga itu kembali tinggal di tapak rumah lama yang sudah hangus dan mengutip tin kosong dan besi untuk dijual, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga telah memberikan rumah bantuan kepada ayah Awang Mohd Jeffery di Kampung Labi yang sekarang didiami oleh kakaknya terletak berdekat dengan Masjid Labi, selain Pusat Dakwah juga memberikan Berek Kerajaan kepada mertua Awang Mohd Jeffery di Lorong Tiga Seria,” kata pegawai Unit Dakwah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA