Terpegun dengan keindahan Brunei

Terpegun dengan keindahan Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Rombongan wartawan dari Korea Selatan yang menyertai Program Pertukaran Lawatan Media ASEAN-Korea, sejak 6 September lalu, terpegun melihat keindahan negara ini di samping menghargai pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh semasa mengadakan kunjungan ke beberapa buah kementerian dan jabatan kerajaan termasuk organisasi media.

“Lawatan selama empat hari ke negara ini tidak mencukupi untuk menerokai keindahan dan keunikan Brunei dan berharap tempoh program akan dipanjangkan dalam usaha memberi peluang kepada wartawan kedua-dua negara bekerjasama terutama dalam berkongsi pengalaman, laporan, bertukar pengetahuan dan sebagainya.”

Ini dinyatakan oleh Setiausaha Ketiga di Kementerian Hal Ehwal Luar, Republik Korea, Hwang Gyutae, yang turut menyertai rombongan berkenaan semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, sebelum meninggalkan negara ini untuk meneruskan program lawatan ke Filipina selama tiga hari.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan pengalaman yang diperoleh semasa berada di negara ini.

Rombongan wartawan Korea bergambar ramai dengan pegawai Jabatan Penerangan di ruang berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Rombongan wartawan Korea bergambar ramai dengan pegawai Jabatan Penerangan di ruang berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Menurutnya, lawatan itu juga dapat meningkatkan pengetahuan mengenai latar belakang, budaya dan industri negara Brunei di samping dapat mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

Beliau yang tertarik dengan pergaulan dan kerjasama yang diberikan oleh media negara ini dengan media negara lain berbanding di Korea berkata, wartawan lebih suka kepada persaingan di mana mereka mahu dibezakan daripada orang lain dan menghasilkan berita terkini dan sensasi di samping berusaha untuk mendapatkan berita daripada pelbagai medium.

Sepanjang berada di negara ini, rombongan berpeluang mengadakan lawatan ke Jabatan Penerangan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan agensi media lain.

ARTIKEL YANG SAMA