Terperangkap selama 4 hari

Terperangkap selama 4 hari

NAIROBI, 3 Mei (AFP) – Pasukan penyelamat Kenya berjaya menarik keluar anak damit berusia 18 bulan yang masih bernyawa dari runtuhan bangunan enam tingkat hari ini, empat hari selepas bangunan itu runtuh yang mengorbankan 23 orang, menurut polis.

“Berita baik!” menurut Pasukan Palang Merah Kenya. “Seorang anak damit berusia kira-kira setahun setengah diselamatkan dalam keadaan masih bernyawa pada pukul empat pagi waktu tempatan dan telah dirujuk kepada Hospital Kebangsaan Kenyatta.

Pasukan Palang Merah berkata anak damit perempuan itu ditemui ‘dalam baldi yang dibungkus dalam selimut’ dan mengalami dehidrasi tetapi tidak mengalami kecederaan fizikal yang ketara.

Anak damit itu telah berada di sana selama 80 jam sejak bangunan itu yang didiami oleh 150 buah keluarga yang tinggal berasak dalam sebuah-buah bilik, runtuh pada malam Jumaat lalu.

Ketua polis Nairobi Japheth Koome menyifatkannya ‘keajaiban’ dan berkata perkhidmatan kecemasan meneruskan usaha menyelamat mereka.

Seorang anak damit berusia enam bulan berjaya dikeluarkan setelah terperangkap dalam runtuhan selama empat hari. - AP
Seorang anak damit berusia enam bulan berjaya dikeluarkan setelah terperangkap dalam runtuhan selama empat hari. – AP

Menurut polis angka kematian dari tragedi itu meningkat kepada 23 orang hari ini selepas dua lagi mayat ditemui.

Terletak di kawasan miskin Huruma yang penuh sesak, bangunan itu telah dijangkakan akan dimusnahkan selepas diisytihar tidak selamat dari segi strukturnya.

Tetapi arahan pengosongan bangunan itu, yang dibina berhampiran sebatang sungai dua tahun lalu, telah tidak diendahkan.

Lima orang akan dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk berdepan tuduhan mengakibatkan kematian ekoran kejadian itu.

Beberapa buah bangunan telah runtuh beberapa tahun kebelakangan di Nairobi dan bandar-bandar Kenya lain yang mana perkembangan hartanah telah menyaksikan bangunan-bangunan muncul dengan pesatnya, kerap tidak mematuhi peraturan bangunan.

Kematian-kematian di Huruma menjadikan kira-kira 30 orang yang telah terkorban di Nairobi sejak hujung minggu dalam kemalangan yang berkaitan banjir ekoran hujan lebat.

ARTIKEL YANG SAMA