Terpikat agama Islam di bangku sekolah

Terpikat agama Islam di bangku sekolah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Pendidikan agama Islam semasa di bangku sekolah telah membuka hati seorang remaja perempuan berusia 18 tahun untuk mendalami lagi agama suci ini, sekali gus menjadikannya sebagai pegangan hidup setelah melafazkan dua kalimah syahadah, hari ini.

Majlis pengislaman Dayang Masnidah Anak Harith yang memilih nama Islamnya sebagai Maziidah Intan binti Abdullah Harith telah berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei Dato Seri Pahlawan Bahrin bin Mohd Noor serta datin yang turut menyampaikan cenderahati kepada Dayang Maziidah.

Dayang Maziidah Intan merupakan anak kepada salah seorang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dalam Pasukan Simpanan Kompeni ‘C’ yang berasal dari Kampung Biang Baru, Daerah Temburong.

Ketika ditemui di awal majlis, Dayang Maziidah memberitahu dia banyak menimba ilmu keagamaan ketika menuntut di sekolah ugama wajib dahulu dan daripada sana minat terhadap agama Islam semakin mendalam.

Majlis pengislaman Dayang Maziidag berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Majlis pengislaman Dayang Maziidag berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.

Selain daripada itu, ramai ahli keluarganya telah memeluk agama Islam dan ini menjadikan semangatnya semakin berkobar untuk mendalami agama Islam sebagai seorang Muslimah.

“Saya banyak melihat video yang berkaitan dengan agama di laman YouTube namun pada saya ilmu yang paling berguna dan menambat hati saya adalah ketika di bangku sekolah kerana ia mendalam dan memberikan penerangan yang terperinci,” ujarnya.

Beliau akan mengikuti kursus setelah menganut agama Islam di Pusat Dakwah Islamiah sedikit masa lagi dan menyatakan perasaan terujanya untuk terlibat dalam kursus itu nanti.

Majlis terlebih dahulu, dimulakan dengan sembahyang sunat hajat berjemaah sebelum diteruskan dengan majlis pengislaman dan penyampaian cenderahati kepada Dayang Maziidah Intan dan diakhiri dengan solat fardu Asar berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA