Terpilih lanjutkan pelajaran di AS

Terpilih lanjutkan pelajaran di AS

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam telah mengumumkan penerima Program Pelajar Asing Fulbright 2016, iaitu Dayangku Nadeeya binti Pengiran Haji Mohd Salleh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kedutaan berkenaan, hari ini, Dayangku Nadeeya akan mengambil Ijazah Sarjana Undang-undang (LLM) di Columbia University, New York, di mana beliau akan menggunakan pengalaman profesionalnya di Jabatan Undang-Undang, Petroleum untuk mengembangkan lagi pemahamannya mengenai undang-undang antarabangsa dengan tumpuan ke atas penimbangtaraan.

Baru-baru ini, menurut kenyataan itu lagi, Duta Besar AS, Craig Allen telah bertemu dengan Dayangku Nadeeya untuk mengucapkan tahniah atas penganugerahan tersebut.

“Menerusi peluang-peluang seperti Program Fulbright, program pertukaran pendidikan paling berprestij kami, rakyat Brunei dapat merealisasikan aspirasi akademik mereka di beberapa buah sekolah terbaik Amerika.

“Saya sentiasa kagum dengan penerima Fulbright Brunei yang mewakili gabungan profesional dari sektor awam dan swasta, dan yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemakmuran negara,” ujar Craig Allen.

Dayangku Nadeeya menerima surat Program Pelajar Asing Fulbright 2016 daripada Duta Besar Amerika Syarikat.
Dayangku Nadeeya menerima surat Program Pelajar Asing Fulbright 2016 daripada Duta Besar Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai penganugerahan berkenaan, Dayangku Nadeeya dipetik sebagai berkata, “Colombia adalah sekolah undang-undang yang terkenal dengan profesor-profesornya yang selalu menyumbang kepada pembentukan undang-undang antarabangsa, bukan sahaja menerusi peranan mereka sebagai ahli akademik namun lebih penting menerusi praktik mereka.

“Kerap kali, aspek undang-undang antarabangsa tidak diendahkan ketika perundingan kontrak, menyebabkan isu-isu muncul tanpa dijangkakan ketika operasi kontrak. Saya berharap, pengkhususan dalam undang-undang antarabangsa akan merapatkan jurang ini bagi pemahaman lebih penuh mengenai semua isu kontraktual,” ujarnya lagi.

Program pertukaran pendidikan antarabangsa yang ditaja oleh kerajaan AS ini direka untuk meningkatkan persefahaman bersama di antara penduduk AS dan penduduk dari negara-negara lain.

Menurut kenyataan itu, Program Fulbright, kini memasuki tahun ke-70, telah memberikan peluang kepada lebih daripada 370,000 orang penerima untuk bertukar-tukar idea dan saling memahami budaya dan politik serta institusi ekonomi masing-masing.

Ia ditubuhkan pada tahun 1946 di bawah perundangan yang diperkenalkan oleh mendiang Senator J. William Fulbright dari Arkansas, dan ditadbir oleh Jabatan Negara dan Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE).

Di seluruh dunia, alumni Fulbright merangkumi 33 orang bekas ketua negara atau kerajaan, 54 penerima Hadiah Nobel, 82 pemenang Hadiah Pulitzer, 29 Felo Yayasan MacArthur, 16 penerima Pingat Kebebasan Presiden dan beribu-ribu pemimpin di seluruh sektor awam, swasta dan bukan berasaskan keuntungan.

Salah seorang penerima terawal geran Fulbright dari Brunei pada tahun 1986 ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Fulbright di Brunei, bolehlah melayari laman sesawang http://brunei.usembassy.gov.

ARTIKEL YANG SAMA