Terry hanya menonton Blues lawan PSG

Terry hanya menonton Blues lawan PSG

PARIS, 16 Feb – Kapten Chelsea, John Terry tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain (PSG) berikutan kecederaan hamstring, kata kelab itu.

Pertahanan tengah berkenaan bakal terlepas aksi kelompok 16 terbaik di Stadium Pars de Princes, awal pagi ini dan tidak mengikuti skuad yang sudah pun berlepas ke Paris.

“John Terry tidak dapat menyertai perlawanan ini memandangkan dia masih lagi mengalami kecederaan hamstring dan juga ligamen,” kata Chelsea menerusi laman web rasminya.

Terry yang dilihat terhincut-hincut sebelum separuh masa pertama ketika Chelsea membenam Newcastle 5-1 hujung minggu lalu, dilihat menyertai sesi latihan selepas menjalani imbasan, namun kelab itu mengesahkan dia tidak akan beraksi pada perlawanan terbabit.

“Bukan saya yang membuat keputusan kerana dia mempunyai masalah untuk menyertai kami. Kami menjalankan ujian ke atasnya pagi tadi dan nampaknya lebih baik kami membiarkan dia mendapatkan rawatan di London.

“Dia meyakinkan kami bahawa dia tidak akan dapat membantu pasukan buat masa ini,” kata pengurus Chelsea, Guus Hiddink dalam sidang media menjelang perlawanan di sini.

Hiddink berkata, pertahanan berusia 35 tahun itu juga dijangka tidak dapat diturunkan untuk aksi pusingan kelima Piala FA menentang Manchester City, Ahad ini.

“Kehilangan Terry sedikit sebanyak menjejaskan perancangan kami, namun saya bukanlah pengurus yang suka mengeluh kerana saya memiliki keyakinan penuh terhadap pemain lain.”

Ketiadaan Terry dan Zouma yang diketepikan sehingga tamat musim ini, Branislav Ivanovic bakal bergandingan selaku pertahanan tengah bersama Gary Cahill dengan Cesar Azpilicueta akan kembali beraksi sebagai pertahanan kanan dan Baba Rahman di posisi bek kiri. – AFP