Terselamat selepas 6 hari dalam runtuhan salji

Terselamat selepas 6 hari dalam runtuhan salji

NEW DELHI, 9 Feb – Seorang daripada 10 askar India yang dikhuatiri mati selepas enam hari runtuhan salji di kawasan terpencil Himalaya berjaya diselamatkan.

Mangsa ditemui beberapa hari selepas pihak berkuasa menyatakan peluang untuk mencari mereka yang terselamat susulan insiden Glasier Siachen minggu lalu amat tipis.

“Dalam operasi yang masih dijalankan di Siachen, daripada 10 askar yang tertimbus……seorang sudah ditemui. Malangnya semua askar yang lain tidak bersama kita lagi,” kata panglima tentera darat wilayah utara, Jeneral DS Hooda.

Askar yang diselamatkan, Lans Koperal Naik Hanamanthappa, dilapor dalam keadaan kritikal dan pegawai berusaha memindahkannya dari kawasan pergunungan pagi ini untuk dibawa ke hospital tentera di New Delhi.

“Kita berharap keajaiban akan berterusan. Berdoalah bersama kami,” menurut Hooda. Agensi berita PTI melaporkan askar berkenaan tertimbus di bawah hampir lapan meter salji. Askar berkenaan sedang bertugas di pos kawalan di kawasan glasier pada ketinggian 5,900 meter apabila runtuhan salji berlaku. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA