Tertarik ajar...

Tertarik ajaran Islam

Oleh Hajah Saemah kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Ogos – Setelah tertarik dengan ajaran agama Islam, seorang lelaki berasal dari Kampung Lumut memilih agama suci Islam sebagai pegangan hidupnya yang baru dan melafazkan dua kalimah syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, di sini, hari ini.

Zaini bin Kuda, 33, yang tidak menganut apa-apa agama sebelum ini, telah memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Zaini bin Abdullah Kuda.

Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan majlis tersebut ialah Penolong Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

Beliau memberitahu, setakat ini statistik keramaian orang yang memeluk agama Islam di Daerah Belait bermula awal Januari 2016 sehingga penghujung bulan Julai adalah seramai 74 orang.

Sementara itu, menurutnya lagi, statistik pengislaman bagi daerah ini pada tahun lalu adalah seramai 96 orang.

Awang Muhammad Zaini menerima cenderahati yang disampaikan oleh Hajah Salimah.
Awang Muhammad Zaini menerima cenderahati yang disampaikan oleh Hajah Salimah.

Beliau juga memberitahu, setiap mualaf yang baru memeluk agama Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) iaitu Kursus Bimbingan Pengenalan Islam yang diadakan selama sepuluh hari di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.

“Selepas itu, mereka dikehendaki pula mengikuti Kursus Skim Bimbingan Asas untuk selama dua minggu, juga diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah di sini, seterusnya mengikuti Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie di Bandar Seri Begawan dan akhir sekali Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 2 juga diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie Bandar Seri Begawan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, mualaf-mualaf akan terus digalakkan menyertai berbagai kursus lainnya yang dianjurkan oleh PDI, untuk terus meningkatkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman serta kefahaman yang mendalam tentang Islam.

Melalui statistik pada tahun ini, bangsa Iban dicatatkan jumlah terbanyak yang memeluk Islam sejak awal Januari hingga penghujung bulan Julai, iaitu seramai 26 orang, di samping Puak Dusun seramai 21 orang, Cina 14 orang, Filipina tujuh orang, Murut seorang, dan lain-lain seramai lima orang.

Majlis pengislaman itu kemudiannya telah diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baru yang diraikan, oleh tetamu kehormat.