Tertarik budaya junjung ziarah

Tertarik budaya junjung ziarah

Oleh Normazlina M.D & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Junjung ziarah bersama kerabat diraja Brunei dilihat unik oleh para pelancong yang datang buat kali pertama di Istana Nurul Iman, hari ini.

Inilah yang dirasakan oleh seramai 38 orang pelancong dari Filipina yang tidak ketinggalan menyaksikan keunikan negara ini membuka peluang rakyatnya bertemu dengan raja disayangi.

Salah seorang ejen pelancongan dari Filipina, September Ape, ketika ditemui memberitahu Media Permata, tujuan mereka melancong ke negara ini sehingga 21 Julai adalah untuk mengambil kesempatan bertemu raja Brunei serta kerabat diraja yang lain disamping melawat masjid-masjid di negara ini.

Menurut beliau, Brunei bukan sahaja terkenal dengan memiliki masjid yang unik, bahkan budaya junjung ziarah di negara ini juga dianggap unik kerana bagi beliau, bukan mudah untuk berjumpa dengan pemimpin di luar negara.

September Ape (depan) bersama Caroline Cheng mengambil mengambil kesempatan melancong ke nega-ra ini untuk bertemu dengan raja Brunei dan ingin melihat sendiri pemandangan dalam Istana Nurul Iman.
September Ape (depan) bersama Caroline Cheng mengambil mengambil kesempatan melancong ke nega-ra ini untuk bertemu dengan raja Brunei dan ingin melihat sendiri pemandangan dalam Istana Nurul Iman.
Rachel Mc Leary, Marie Bowers dan isteri-isteri Pegawai Kementerian Pertahanan yang berasal dari nega-ra luar amat teruja bertemu dengan kerabat diraja Brunei.
Rachel Mc Leary, Marie Bowers dan isteri-isteri Pegawai Kementerian Pertahanan yang berasal dari nega-ra luar amat teruja bertemu dengan kerabat diraja Brunei.

Caroline Cheng dari Filipina yang pertama kali datang ke negara ini melalui agensi pelancongan Filipina, Rakso Air Travel & Tours Inc, mengakui beliau juga ingin mengambil kesempatan untuk bertemu dengan raja Brunei dan ingin melihat sendiri suasana dalam Istana Nurul Iman.

Rachel Mc Leary dari New Zealand dan Marie Bowers dari Australia yang berada di negara ini bagi mengikuti suami bertugas di Kementerian Pertahanan, turut tidak melepaskan peluang untuk datang berjunjung ziarah ke istana buat pertama kali.

Mereka menyatakan perasaan amat teruja kerana dapat bertemu kerabat diraja Brunei dan begitu tertarik dengan pemandangan indah Istana Nurul Iman.

Mereka juga berkata, pengunjung istana telah diberi layanan yang baik dengan hidangan makanan yang enak dan melihat perbarisan yang teratur dengan suasana istana yang meriah.

ARTIKEL YANG SAMA