Tertuduh alami masalah mental

Tertuduh alami masalah mental

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki tempatan yang menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki pada Jun lalu supaya ditahan di Penjara Jerudong sehingga tindakan lanjut diambil.

Perintah kurungan itu dibuat oleh Hakim Dato Paduka Steven Chong sebaik dimaklumkan mengenai laporan penilaian psikiatri daripada doktor Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang mengesahkan tertuduh mengalami masalah mental yang tidak stabil dan tidak layak untuk dibicarakan.

Ahmad Nazilah bin Yusof, 26, didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohammad El’fie Fahmy bin Mohd Zuleniesra yang berusia dua tahun dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau sekitar jam 5 petang pada 9 Jun 2015 di Dewan Kampung Pandan, Kuala Belait.

Hakim turut memberitahu Timbalan Pendakwa Raya Kamaliah binti Haji Ibrahim untuk memaklumkan perintah yang dibuat itu ke Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

Dalam insiden yang berlaku pada 9 Jun 2015 sekitar pukul 5 petang, tertuduh yang bersenjatakan pisau jenis ‘jungle knife’ telah mencederakan seorang kanak-kanak di bahagian leher ketika bapanya sedang bermain sepak takraw di Dewan Kampung Pandan.

Tertuduh kemudian dikejar oleh orang ramai namun sempat mencederakan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun, juga di bahagian leher.

Tertuduh kemudian berlari ke kawasan padang futsal di mana dia turut mencederakan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun di bahagian paha sebelum melarikan diri ke kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, tertuduh telah diserahkan kepada pihak polis oleh keluarganya.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan untuk rawatan kecemasan yang mana mangsa pertama telah menjalani pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil manakala mangsa kedua dan ketiga dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

ARTIKEL YANG SAMA