Tertuduh bunuh rakan guna kopi sianida dibicarakan

Tertuduh bunuh rakan guna kopi sianida dibicarakan

JAKARTA, 15 Jun (AFP) – Seorang wanita Indonesia menjalani perbicaraan hari ini atas tuduhan membunuh seorang rakanya dengan membubuhi kopinya dengan sianida, dalam satu kes yang telah mengakibatkan ketegangan antara kedua-dua negara, Indonesia dan Australia berhubung hukuman mati.

Jessica Kumala Wongso, yang merupakan penduduk tetap Australia, menafikan merancang pembunuhan rakan sekolejnya, Wayan Mirna Salihin, yang rebah dan meninggal dunia selepas meminum kopi di sebuah kafe mewah Jakarta pada Januari.

Kes itu telah menarikan perhatian ramai dan ratusan jurnalis menghadiri perbicaraan awalnya, sementara berpuluh penyokong mangsa mengadakan perhimpunan kecil di luar mahkamah menuntut pembunuhnya dijatuhkan hukuman berat.

“Defendan sengaja meragut nyawa seseorang,” kata pendakwa raya Ardito Muwardi.

Ia juga telah mengakibatkan ketegangan antara Jakarta dan Canberra selepas polis Indonesia meminta bantuan daripada rakan sejawatan Australia.

Suspek Jessica Kumala Wongso (tengah) ketika dikawal oleh peguamnya selepas dia dibicarakan di Mahkamah Jakarta Tengah di Jakarta pada 15 Jun. – AFP
Suspek Jessica Kumala Wongso (tengah) ketika dikawal oleh peguamnya selepas dia dibicarakan di Mahkamah Jakarta Tengah di Jakarta pada 15 Jun. – AFP

Wongso, 27, tinggal di Sydney sehingga tahun lepas, tempat dia belajar di sebuah kolej bersama Salihin.

Pihak berkuasa Australia bersetuju untuk membantu selepas menteri Indonesia menjamin bahawa Wongso tidak akan dijatuhkan hukuman mati jika didapati bersalah kerana membunuh, hukuman bunuh di Indonesia.

Bagaimanapun para pegawai Indonesia sejak itu telah menunjukkan mesej bercampur baur, dengan beberapa mengatakan jaminan itu tidak akan dilaksanakan.

Canberra sangat sensitif tentang hukuman mati di Indonesia selepas Jakarta tahun lepas menghukum mati dua penyeludup dadah warga Australia.

Pendakwa juga mengatakan Wongso memutuskan untuk membunuh mangsa selepas Salihin, juga berusia 27 tahun, menasihatkannya untuk berpisah dengan teman lelakinya disebabkan dia juga mengambil dadah.

Dia menjemput Salihin ke kafe, tempat dia mencampuri sianida ke dalam minuman kopi ais Vietnamnya, menurut mahkamah.

Salihin rebah dan mula terkejang-kejang selepas meminum kopi itu, meninggal dunia sejurus dikejarkan ke hospital.

Polis juga mengatakan Wongso meletakkan begnya di atas meja untuk menghalang kamera CCTV di kafe itu daripada merakamkan dia membubuhi racun ke dalam kopinya.