Tertuduh didakwa lakukan 4 kesalahan

Tertuduh didakwa lakukan 4 kesalahan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Seorang lelaki tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas empat pertuduhan menceroboh dan curi.

Mohd Hadi Khairi Syazwan bin Mohd Khairul Ariffin, 21, untuk tuduhan pertama didakwa menceroboh ke kawasan kediaman persendirian di Jalan Jaya Negara, Kuala Belait dengan niat untuk mencuri pada 12 Disember kira-kira jam 12 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga satu tahun dan denda.

Tertuduh untuk kesalahan kedua didapati mencuri satu gerudi jenama Dewalt dan telefon bimbit jenama Nokia di sebuah rumah di Jalan Singa Menteri, Kuala Belait pada 12 November kira-kira jam 11:58 malam.

Untuk tuduhan ketiga, Mohd Hadi didakwa mencuri sebuah telefon bimbit Samsung Wonder di sebuah rumah di Jalan Maulana pada 4 November kira-kira jam 12:50 tengah hari.pg06_151215_mahkamah logo

Tertuduh juga berdepan pertuduhan keempat iaitu mencuri pemain DVD Samsung mudah alih, dua kamera, dua set alat dengar, alat kawalan jauh Tv Apple, alat penimbang makanan digital, pembesar suara mudah alih dan pelbagai mata wang di sebuah rumah di Jalan Maulana pada 15 dan 19 Oktober.

Untuk kesalahan curi, tertuduh didakwa di bawah Seskyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang membawa penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim memohon kepada mahkamah untuk kes ditangguhkan selama sehari bagi membolehkannya menyediakan fakta kes.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan 15 Disember untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh diikat jamin $2,500 atau seorang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA